GEORGETOWN - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menyokong agar Restoran Crack House Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) ditutup kerana dilihat sengaja menghina agama Islam.
Beliau berkata, tindakan tegas oleh pihak berkuasa perlu diambil ke atas kelab tersebut segera.
Menurutnya, sebelum ini kenyataan beliau tidak begitu tegas terhadap kelab terbabit kerana menganggap jenaka yang dipersembahkan tidak disengajakan.
"Kenyataan saya sebelum ini agak lembut terhadap kelab berkenaan kerana saya fikir apa yang terjadi mungkin tidak disengajakan. Tetapi setelah mengetahui kejadian ini telah berlaku berulang-ulang kali, maka ini boleh difahami ia sengaja dirancang untuk menghina agama Islam.
"Oleh itu, saya menyokong Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak keras ke atas kelab tersebut memandangkan kesalahan yang dilakukannya amat berat dan boleh menjejas kestabilan negara.
"Kelab tersebut perlu ditutup supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Pada Khamis, Wan Salim meminta pihak berkuasa melaksanakan satu garis panduan dan kawalan tertentu agar pemilik dan pengunjung kelab tersebut sentiasa memelihara batas-batas moral dan agama.
Katanya, pihak berkuasa agama Islam antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama perlu menasihati masyarakat Muslim agar sentiasa menghormati kesucian agama mereka dan tidak dijadikan bahan mainan atau gurauan.
Tambah beliau lagi, sebagai agama yang sesuai dengan fitrah manusia, Islam tidak menentang hiburan termasuk komedi atau lawak jenaka malah tidak menghendaki penganutnya sentiasa serius sehingga tiada ruang untuk bersantai dan berekreasi.
Bagaimanapun, jenaka yang dibuat itu tidak boleh keterlaluan terutamanya yang melibatkan isu serius seperti agama.
Sebelum ini, DBKL mengambil tindakan menggantung sementara pengoperasian premis kelab tersebut serta-merta susulan isu tular seorang wanita menghina kesucian agama Islam.
Pada Sabtu lalu, video memperlihatkan seorang wanita bertindak menanggalkan tudung dan baju kurung tular di media sosial sehingga mengundang kemarahan masyarakat.
Wanita tersebut, Siti Nuramira Abdullah naik ke pentas dan memperkenalkan dirinya selain mengaku seorang wanita Melayu Islam dan menghafal 15 juzuk al-Quran.
Akibat tindakan itu, wanita itu dan teman lelakinya, V Alexander Navin direman oleh pihak polis bagi membantu siasatan.