KELANTAN United FC (KUFC) mahu menggunakan kesempatan beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini buat kali pertama musim ini dengan 'menggari' PDRM dalam saingan Liga Premier pada Sabtu.
Ketua jurulatih KUFC, Syamsul Saad berkata, kehadiran semula Jacob Njoku yang berehat panjang akibat kecederaan sebelum ini memberi tonik kepada pasukan itu dalam usaha meraih tiga mata.
"Bukan itu sahaja, kemasukan Nik Akif Syahiran Nik Mat pada jendela perpindahan kedua lalu mengukuhkan lagi kekuatan jentera tengah pasukan.
"Jadi saya harap pemain yang diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab dapat memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu bagi memastikan KUFC meraih mata di tempat sendiri," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, kemenangan ke atas PDRM ini amat diperlukan KUFC dalam usaha memburu kedudukan terbaik dalam carta Liga Premier.
Katanya, bagaimanapun barisan pemain KUFC perlu waspada dengan kekuatan pasukan lawan yang turut membawa masuk beberapa tonggak baharu.
Syamsul berkata, PDRM dilihat mempunyai momentum yang terbaik selepas berjaya menumbangkan Perak FC pada aksi terakhir liga sebelum ini.
"Aksi terakhir KUFC tumpas kepada Perak FC dan itu cerita lama. Sasaran kita pada perlawanan itu mahu mendapatkan mata, tambahan pula beraksi di tempat sendiri buat kali pertama.
"Jadi kita mahu hadiahkan kemenangan pertama di tempat sendiri kepada pemain ke-12 KUFC," katanya.