BIARPUN gagal menyerlah di Wimbledon baru-baru ini apabila tersingkir pada pusingan pertama, bekas pemain nombor satu dunia Serena Williams bersemangat untuk kembali bangkit pada Terbuka Kanada yang dijadualkan berlangsung mulai 6 hingga 14 Ogos depan.
Menurut pemain berusia 40 tahun itu, dia mahu menjadikan kejohanan berkenaan (Terbuka Kanada) sebagai medan untuknya kembali bangkit setelah mempamerkan prestasi hambar sejak kebelakangan ini.
"Kejohanan Wimbledon baru-baru ini merupakan kejohanan pertama saya setelah ‘berehat’ selama 12 bulan sebelum ini.
"Namun malangnya, saya gagal menyerlah di Wimbledon baru-baru ini apabila saya telah tersingkir seawal pusingan pertama.
"Oleh itu, kali ini saya mahu memberikan aksi terbaik saya di kejohanan kedua (Terbuka Kanada) dan diharapkan saya dapat mencapai ‘sesuatu’ kali ini,” katanya.
Untuk rekod, Serena tewas 5-7, 6-1, 6-7 (7-10) kepada pemain Perancis, Harmony Tan pada pusingan pertama Kejohanan Wimbledon, 29 Jun lalu.
Hasrat Serena untuk beraksi di Terbuka Kanada itu sekali gus disambut gembira oleh peminat-peminatnya.
Sementara itu Serena dilaporkan turut memburu gelaran Grand Slam ke-24 selepas ini setelah kali terakhir berbuat demikian di Terbuka Australia 2017 lalu.
Katanya, setelah lima tahun, beberapa gelaran Grand Slam telah ‘terlepas’ daripadanya dan kini dia mahu kembali ‘memburu’ gelaran berkenaan sebelum mengumumkan persaraannya kelak.
"Saya juga sedar akan berdepan tentangan sengit kerana difahamkan pemain-pemain terbaik hari ini seperti Naomi Osaka, Coco Gauff dan juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Emma Raducanu akan turut beraksi di Terbuka Kanada.
"Namun, saya akan jadikannya sebagai satu motivasi untuk beraksi lebih baik daripada mereka,” katanya.