Tak mahu cubaan gugat keharmonian menular: Sultan Mizan

Iklan
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman di sini – Foto: Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI)

KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mahu pihak berkuasa mengambil langkah sewajarnya supaya cubaan menggugat keharmonian tidak menular ke negeri ini.

Sultan Mizan bertitah, ini kerana sejak kebelakangan ini ada pihak berani melakukan perkara yang menyentuh kesucian agama Islam dan memperlekehkan institusi diraja.

Iklan
Iklan

"Beta mahu pihak yang berkenaan mengambil langkah berjaga-jaga supaya perkara-perkara seperti ini tidak menular di negeri ini," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.

Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan disambut Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Yang Dipertua Dun, Yahaya Ali.

Iklan

Sultan Mizan berharap, kerajaan negeri terus komited berusaha memartabatkan agama Islam dan umat Islam di negeri ini menerusi gerak kerja profesional yang berupaya menangkis sebarang fitnah dan tuduhan jahat sekali gus membuktikan kemampuan sebenar sistem Islam sebagai Ad-din.

Dalam titahnya, baginda turut meluahkan rasa sukacita dengan kepimpinan Dr Ahmad Samsuri yang berjaya mengamalkan konsep kepimpinan matang dan sejahtera.

Iklan

Baginda melihat semangat perpaduan dan kekitaan di antara ahli yang berhormat dan rakyat tanpa mengira mana-mana parti terserlah demi memastikan Terengganu menjadi antara negeri paling harmoni.

"Beta menyeru supaya ketepikan politik kepartian dan berilah keutamaan kepada agenda rakyat dan pembangunan negeri. Beta ingin melihat negeri ini setaraf dengan negeri-negeri maju lain," titah baginda.

Dalam menterjemah program dan projek telah dirangka, Sultan Mizan turut menekankan kepentingan dasar prinsip tadbir urus yang baik dalam pelaksanaan tugas dan proses membuat keputusan.

Sehubungan itu, baginda mahu kerajaan negeri jauhi sikap menjalankan program atau projek untuk golongan tertentu sahaja sehingga mengetepikan kepentingan rakyat.

"Kerajaan negeri harus berusaha menggembleng setiap kepakaran yang ada pada semua pihak bagi mencapai objektif memajukan negeri," titah baginda.