Wook Yik tak rela berpisah dengan Aaron

Iklan
Pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik menyifatkan tidak adil untuk memisahkan gandingannya dengan Aaron Chia.

[DIKEMAS KINI] PEMAIN beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik menyifatkan tidak adil untuk memisahkan gandingannya dengan Aaron Chia berdasarkan ‘kegagalan’ memenangi kejohanan terbuka sejak digandingkan pada 2017.

Menurutnya, pencapaian mereka tidak kurang hebatnya berbanding beregu lain, selain gandingan mereka sebagai beregu lelaki utama negara tetap utuh.

Iklan
Iklan

"Hanya disebabkan kita tak menang mana-mana kejuaraan terbuka ada pihak menilai saya dan Aaron tidak sesuai sebagai pasangan. Pencapaian kami agak baik, kami sangat konsisten jika dibandingkan dengan beregu lain dan kita telah buktikan dengan menang gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kita ada keistimewaan, namun belum tiba masa untuk menang kejuaraan tetapi kami masih teruskan gandingan dan hubungan kami semakin kukuh,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.

Iklan

Wooi Yik turut menyatakan bahawa tidak terlintas di fikirannya untuk berpisah dengan Aaron.

Keserasian pasangan nombor enam dunia itu menjadi persoalan peminat sukan tanah air selepas gagal memanfaatkan peluang meraih kejuaraan di laman sendiri pada Terbuka Malaysia 2022 dan Masters Malaysia 2022 selepas terkandas di peringkat separuh akhir di kedua-dua kejohanan tersebut.

Iklan

Aaron-Wooi Yik tumbang kepada pasangan kedua dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, 21-23, 9-21 di Terbuka Malaysia 2022 dan tumpas kepada pasangan kelima dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia, 14-21, 21-19, 10-21 pada Masters Malaysia 2022.

Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky pada Ahad lepas enggan mengambil risiko memecahkan gandingan beregu lelaki nombor satu negara itu buat masa sekarang.

Rexy menjelaskan amat sukar membuat tindakan drastik itu memandangkan pemain simpanan di BAM ketika ini belum lagi mencapai tahap memuaskan selain berkedudukan ranking yang jauh lebih rendah daripada Aaron-Wooi Yik seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun (38) serta Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri (80).

Mengenai pandangan Rexy yang mahu melihat Aaron-Wooi Yik jujur dengan meluahkan apa yang terbuku di hati mereka, Wooi Yik berkata, mereka selama ini sememangnya berterus terang terhadap segala masalah yang berlaku dengan barisan kejurulatihan dalam sesi latihan.

Sementara itu Wooi Yik berkata, ketiadaan Aaron yang ketika ini menjalani tempoh kuarantin selepas disahkan positif Covid-19 pada Rabu lepas tidak menjejaskan persiapan mereka ke Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England.

"Saya rasa bukan masalah besar, Isnin ini Aaron boleh sambung latihan. Setakat ini, Aaron tiada simptom teruk cuma batuk sahaja," katanya.

Sukan Komanwel 2022 dijadual berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos.