Kes muflis turun, bankrap jalan terakhir institusi kewangan

Iklan
Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR - Trend kes muflis bagi individu semakin menurun sejak 2016 dan ini termasuk ketika Kadar Dasar Semalaman (OPR) meningkat pada 2018, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, ia berdasarkan trend dan maklumat terkini dari bank-bank dan institusi bukan bank terpilih (penyedia perkhidmatan sewa beli).

Iklan
Iklan

"Jumlah belia (individu berumur kurang daripada 35 tahun) yang muflis juga menunjukkan trend penurunan yang sama, mencakupi 14 peratus daripada jumlah kes muflis bagi tempoh Januari hingga Mei 2022, dengan purata bagi tempoh 2017 hingga 2019 adalah 24.9 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu muflis yang acap kali digembar-gemburkan sebagai sinonim dengan keadaan kewangan yang semakin parah selain tindakan Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia mengaitkan kenaikan OPR dengan trend muflis, baru-baru ini.

Iklan

Pada 2018, sejumlah 5,283 kes kebankrapan direkodkan manakala 2019 dengan 3,948 kes; sebanyak 2,844 kes pada 2020 dan 2021 pula dengan 1,884 kes, katanya.

Trend penurunan ini adalah dari tujuh institusi kewangan domestik yang mencakupi 71 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan, katanya.

Iklan

Beliau berkata, banyak prosedur yang perlu dipatuhi oleh institusi kewangan atau pemiutang lain kerana untuk mengisytiharkan seseorang sebagai muflis bukan perkara mudah.

"Tindakan kebankrapan merupakan jalan terakhir oleh institusi kewangan, setelah segala usaha pemulihan lain dilakukan untuk mendapatkan balik pinjaman yang telah diberi kepada peminjam,” katanya.

Gabenor berkata, mengikut Prinsip Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan dan Amalan Pembiayaan yang Bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh BNM, institusi kewangan dikehendaki memastikan peminjam yang menghadapi kesulitan dalam membayar balik pinjaman dilayan dengan adil dan diberi pertimbangan sewajarnya sebelum sebarang tindakan kebankrapan diambil.

Beliau berkata, bagi para peminjam yang menghadapi kesulitan untuk membuat bayaran balik pinjaman, mereka digalakkan mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi institusi kewangan masing-masing sebelum pinjaman tersebut menjadi pinjaman tidak berbayar.

Ini bagi mengelakkan petisyen kebankrapan difailkan oleh institusi kewangan, katanya.

Selain itu, ia membolehkan institusi kewangan menawarkan pakej bayaran balik pinjaman yang sesuai kepada peminjam bagi membantu mereka ketika menghadapi kesulitan kewangan, katanya.

"BNM juga mendapati peminjam telah beransur-ansur keluar daripada program bantuan bayaran balik pinjaman.

"Trend bayaran balik pinjaman sistem perbankan juga mencatatkan penambahbaikan pada suku pertama 2022, di mana trend ini meningkat kepada purata 92 peratus daripada tahap bayaran balik pinjaman sebelum pandemik iaitu pada suku pertama 2020,” katanya.

Nor Shamsiah berkata, peminjam juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk dipertimbangkan di bawah Program Pengurusan Kredit.

Program tersebut dapat membantu peminjam menstrukturkan semula pinjaman sedia ada dan seterusnya membolehkan peminjam untuk terus membayar balik pinjaman, katanya.

"Hal ini dapat mengelakkan mereka daripada tindakan undang-undang yang boleh diambil seperti kebankrapan atau lelongan harta, sekiranya peminjam gagal meneruskan bayaran balik pinjaman,” katanya.

Beliau berkata, BNM juga bekerjasama rapat dengan rakan kongsi dan agensi lain melalui Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) untuk mempergiat usaha meningkatkan celik kewangan dalam kalangan individu.

Gabenor turut menjelaskan bahawa selain institusi kewangan, tindakan kebankrapan turut diambil oleh pemiutang lain yang berada di luar bidang kuasa BNM, seperti syarikat pemberi kredit, pembekal dan sebagainya.

"Sehubungan ini, kementerian dan agensi yang terbabit dalam hal ini sedang giat berusaha untuk memastikan peminjam/penghutang mendapat layanan yang adil dan bertanggungjawab melalui penggubalan Akta Kredit Pengguna dan penubuhan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna di bawah Kementerian Kewangan serta penetapan standard dan garis panduan yang seragam berkaitan dengan Prinsip Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan dan Amalan Pembiayaan yang Bertanggungjawab,” katanya. - Bernama