Peguam Negara perlu bertindak adil

Iklan
Farhan Khairuddin

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas berlaku adil dengan memberikan pengiktirafan penuh Kelayakan Profession Undang-Undang (LPQB) kepada program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Exco Biro Akademik dan Mahasiswanya, Farhan Khairuddin berkata, ia bertujuan memastikan graduan dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) itu tidak perlu menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) untuk menjadi pengalaman undang-undang.

Iklan
Iklan

"Tindakan Thomas menerima graduan undang-undang yang mempunyai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk menduduki CLP telah mencetuskan reaksi pelbagai pihak kerana tidak merujuk dasar muktamad kerajaan Persekutuan mengenai sijil peperiksaan itu.

"Selaku Pengerusi Lembaga Kelayakan Profession Undang-Undang (LPQB), beliau seharusnya bertindak adil dan saksama dengan memberikan pengiktirafan penuh LPQB kepada program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari USIM agar kita boleh menyaksikan graduan program dari IPTA ini tidak perlu lagi menduduki peperiksaan CLP untuk mengamalkan undang-undang di negara ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iklan

Sebelum ini, Thomas dalam satu kenyataan berkata, CLP akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap Senior Middle 3 untuk tujuan tersebut mulai Januari 2021.

Menurutnya, pemegang sijil kelayakan UEC ini juga perlu memperoleh sekurang-kurangnya lima kepujian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), O-Levels atau setaraf yang diperoleh dalam satu peperiksaan yang sama.

Iklan

Mengulas lanjut, Farhan berkata, USIM sejak bertahun lalu berusaha mencapai pengiktirafan penuh itu.

"Banyak siri lawatan ke fakulti oleh panel LPQB berserta semakan dan pematuhan dokumen-dokumen yang ketat bagi memastikan USIM dapat menyertai IPTA lain seperti UUM, UNISZA yang baru memperoleh pengiktirafan penuh LPQB dan IPTA lain seperti UM, UKM, UiTM dan UIA.

"Peguam Negara tidak seharusnya menggunakan alasan bahawa ada beberapa universiti di United Kingdom (UK) menerima UEC sebagai syarat kemasukan ke program undang-undang mereka. Maka graduan yang bersijil UEC harus diberi kelonggaran untuk menduduki CLP. Jika ini logik yang digunapakai beliau, saya rasa program undang-undang di USIM yang sememangnya berasaskan undang-undang negara wajar diiktiraf sepenuhnya," katanya.