SHAH ALAM - Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ahmad Syukri Che Ab Razab menafikan dengan sengaja menghalang perwakilan memasuki dewan bagi menyertai Kongres Nasional AMK 2022 pada pagi Jumaat.
Beliau berkata, perwakilan itu tidak dibenarkan masuk berikutan mereka tidak membuat Mesyuarat Agung Tahunan dan menghantar laporan kepada parti.
"Yang tak boleh masuk itu bukan perwakilan. Sebab nak jadi perwakilan untuk AMK ada dua syarat.
"Syarat yang pertama, cabang itu mesti buat Mesyuarat Agung Tahunan yang mana ini tanggungjawab wajib setiap cabang.
"Setiap tahun kena buat Mesyuarat Agung Tahunan, bukan sekadar buat mesyuarat. Kena hantar laporan, mesyuarat itu mesti cukup korum dan laporan itu mesti cukup tandatangannya semua,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Jumaat.
Sebelum ini, berlaku kekecohan di Kongres Nasional AMK 2022 apabila sekumpulan anggota parti dilarang mewakili cabang mereka dalam sidang tersebut.
Dilaporkan perang mulut tercetus kira-kira sebaik selepas kongres sayap itu bermula, apabila sekumpulan anggota dihalang masuk oleh petugas.
Tambah Ahmad Syukri, syarat kedua untuk menghadiri kongres adalah cabang terbabit mestilah melakukan proses pemilihan dengan sempurna.
"Pemilihan yang sempurna ini maksudnya untuk pemilihan yang lepas setiap cabang itu dia mesti memiliki sekurang-kurangnya lapan pencalonan orang yang bertanding.
"Ketua, timbalan, naib dan lima ahli jawatankuasa (AJK). Kalau kurang satu, cabang itu kiranya tak layak bertanding dan tiada pertandingan. Dua syarat ini mesti ada,” jelasnya.