Mahkamah Tinggi dengar kes saman Ordinan Darurat pada 3 Oktober

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 3 Oktober untuk mendengar kes saman difailkan Presiden Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Fann Peng Tong, Bersih & Adil Network Sdn Bhd serta enam badan bukan kerajaan (NGO) terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan berhubung Ordinan Darurat yang didakwa tidak berperlembagaan.

Peguam New Sin Yew, yang mewakili Bersih dan tujuh pihak selaku plaintif ketika dihubungi berkata, kes saman itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Iklan
Iklan

"Tarikh pendengaran itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, Siti Nur Hafizah Mohd Sokran semasa pengurusan kes secara e-Review hari ini. Mahkamah turut mengarahkan pihak-pihak terlibat memfailkan hujahan bertulis pada 5 September dan hujahan balasan sekiranya ada, pada 19 September," kata peguam itu.

Selain Bersih & Adil Network dan Fann, turut dinamakan sebagai plaintif ialah Zaharom Nain mewakili Pertubuhan Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak); Anil Noel Netto mewakili Persatuan Aliran Kesedaran Negara (Aliran); Suara Inisiatif Sdn Bhd; Yong Yew Wei untuk Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor; Save Rivers Sdn Bhd dan CIJ Communications Services Sdn Bhd.

Iklan

Muhyiddin, yang ketika itu Perdana Menteri dan kerajaan dinamakan sebagai defendan.

Dalam saman pemula terpinda difailkan pada 1 April 2021, kesemua plaintif memohon deklarasi bahawa Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 adalah menyalahi undang-undang serta tidak berperlembagaan dan oleh itu, ia terbatal, tidak sah dan tidak mempunyai kesan.

Iklan

Plaintif juga memohon mahkamah menentukan beberapa persoalan perlembagaan antaranya sama ada Proklamasi Darurat yang dikeluarkan pada 11 Januari 2021 dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang berkuat kuasa pada 14 Januari tahun sama perlu dibentangkan dalam kedua-dua Dewan Parlimen sedangkan persidangan kedua-dua Dewan telah ditangguhkan. - Bernama