MAJLIS showcase Hi Tea eksklusif anjuran Mingguan Wanita dengan didokong oleh Nona, Hijabista dan Pa & Ma tampil meraikan wanita dari pelbagai bidang bersempena Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan pada 8 Mac setiap tahun.
Berlangsung dari Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Showcase Amal Raikan Wanita yang berlangsung pada 30 Mac lalu menampilkan barisan selebriti terkemuka iaitu Nabil Ahmad, Harith Iskandar, Mark Adam, Elly Mazlein, Kumpulan Zero dan Dayang Nurfaizah.
Selari dengan objektif untuk mengembalikan keriangan, keceriaan kepada kaum wanita, barisan artis hebat ini berjaya menggamatkan suasana petang dengan persembahan menarik mereka.
Gandingan dua bintang popular Mark dan Elly atau Kak Lina Pom Pom ternyata mencuri tumpuan serta mendapat sorokan gemuruh daripada tetamu yang hadir dek kerana gelagat persembahan mereka yang begitu mencuit hati.
"Saya dan Kak Lina mendoakan yang terbaik untuk semua wanita di luar sana, tanpa wanita juga kita takkan lahir di dunia ini," ucap Mark ringkas ambil dipersetujui Elly.
Kemunculan Dayang Nurfaizah membuatkan hadirin menjadi lebih teruja untuk turut serta menyanyi bersama menerusi lagu Di Pintu Syurga."Dayang rasa berbesar hati berada di majlis ini sempena meraikan hari wanita dengan tema Dunia Tanpa Wanita.
"Di kesempatan ini Dayang nak beritahu kepada golongan lelaki, hargai dan sayangilah wanita di dalam hidup anda," pesan Dayang sambil tersenyum.
Manakala pelawak dan pelakon komedi Harith dan kumpulan Zero juga berjaya menghiburkan hati para hadirin dengan sketsa mereka mengenai topik wanita.
Bukan sekadar berhibur semata-mata, sebahagian hasil jualan meja showcase ini disalurkan ke dua rumah kebajikan iaitu Rumah Kita dan Raudhatus Sakinah yang disampaikan oleh Editor Pengurusan, Kiffy Razak dan Editor Mingguan Wanita, Puan Lailatun Khalilah.