SHAH ALAM - Konsep program ‘peer to peer’ wajar diketengahkan untuk membantu rakan sebaya mengatasi masalah ketagihan merokok sebagai usaha melahirkan generasi baharu yang tidak lagi terdedah kepada rokok.
Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 21/22 Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Muhammad Aqil Mirza Mohd Shafiee berkata, konsep itu dilihat lebih sesuai untuk memahami kekangan dihadapi oleh rakan mahasiswa yang sukar untuk berhenti merokok.
"Salah satu program yang kita boleh ketengahkan ialah konsep ‘peer to peer’, lebih kepada golongan rakan sebaya, yang mana penceritaan masalah itu boleh difahami dengan lebih mendalam.
"Kita boleh tahu apa yang mereka (perokok) inginkan dan program apa sebenarnya yang sesuai (untuk bantu atasi ketagihan merokok) selain bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program Wacana Sinar Harian Edisi ke-356 yang bertajuk 'Akta Tembakau, Apa Kata Anak Muda' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat.
Turut menjadi panelis, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Noraryana Hassan dan Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr M Murallitharan manakala Ismail Adnan selaku moderator.
Muhammad Aqil Mirza berkata, kebanyakan mahasiswa cenderung untuk menghisap rokok elektronik atau vape gara-gara ingin menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.
"Ada yang akan fikir, mungkin tidak dapat nak sesuaikan diri (dengan rakan sebaya) jika kita tidak ambil vape.
"Jadi, kecenderungan untuk mencuba lebih tinggi, yang akhirnya mereka sendiri terperangkap dan sudah terbiasa dengan rokok konvensional mahupun elektronik yang menjadi trend dalam kalangan pelajar,” ujarnya.