SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman menyifatkan kerajaan atau pihak tertentu perlu mengenal pasti kriteria utama sebelum bercadang melaksanakan hudud di Malaysia.
Menurutnya, isu hudud menjadi perdebatan sejak kebelakangan ini sehingga dijadikan modal politik oleh pihak tertentu berikutan keputusan Brunei melaksanakan hukum hudud.
"Pendapat saya isu ini perlu dibincangkan secara berlapang dada oleh mereka yang pakar dalam bidang ini.
"Mereka perlu mengambil kira realiti dan kedudukan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia kerana kita berbeza dengan sistem monarki mutlak seperti di Arab Saudi dan Brunei,” katanya menerusi rakaman video berdurasi 7 minit di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz memberitahu, beliau turut mengambil kira pandangan daripada ulama terkemuka dunia, Dr Yusuf Al-Qardawi berkenaan isu hudud.
"Yusuf Al-Qardawi menjelaskan beberapa syarat sebelum sesebuah negara Islam itu sebelum melakukan hukum hudud, antaranya mengamalkan konsep keadilan dalam beragama, menjaga kebajikan rakyatnya dan sistem pentadbiran yang ideal yang mana kesejahteraan rakyat berleluasa.
"Dalam pemahaman yang lebih mudah, tiada orang yang terlampau miskin maknanya orang itu kalau dia mencuri bukan kerana lapar tetapi dia keinginan mencuri untuk jadi kaya,” katanya.
Faiz berkata, atas faktor tersebut banyak negara Islam tidak menjalankan hudud kerana belum menepati syarat-syarat terutama dari segi menjaga kebajikan rakyat.
"Sebagai negara jiran, kita seharusnya menghormati keputusan Brunei melaksanakan hudud,” katanya.
Kelmarin, Brunei mempertahankan haknya untuk melaksanakan undang-undang syariah yang membenarkan mana-mana pesalah zina dan pengamal seks sejenis dihukum rejam sampai mati dengan batu di sebalik peningkatan kritikan antarabangsa.
Menurut pejabat Perdana Menteri Brunei dalam satu kenyataan, undang-undang yang pertama kali diluluskan pada 2014 itu telah dibentang secara berfasa dan akan dilaksanakan April ini.