PEMAIN kebangsaan Denmark, Christian Eriksen sah menjadi milik Manchester United selepas kelab itu melengkapkan proses menandatangani pemain tersebut secara percuma dengan kontrak selama tiga tahun.
Pemain berusia 30 tahun itu, bagaimanapun tidak akan menyertai jelajah pra-musim United di Australia, sebaliknya akan berada Carrington dalam misi meningkatkan lagi kecergasannya.
Katanya, Manchester United merupakan sebuah pasukan yang istimewa dan dia tidak sabar untuk bermain bersama kelab ini.
"Walaupun saya pernah bermain di Old Trafford, namun ia sudah tentu perasaan berbeza apabila melakukannya bersama jersi merah United.
"Saya pernah melihat cara Erik bekerja ketika di Ajax dan mengetahui tahap perincian dan persediaan yang beliau dan kakitangannya lakukan setiap hari. Jelas sekali dia seorang jurulatih yang hebat.
"Setelah bercakap dengannya dan mengetahui lebih lanjut tentang visinya dan cara dia mahu pasukan bermain, saya lebih teruja. Saya masih mempunyai cita-cita besar dalam permainan, dan ini adalah tempat yang sesuai untuk meneruskan perjalanan saya,” katanya.
Eriksen sebelum ini merupakan pemain ejen bebas selepas kontrak jangka pendeknya tamat di Brentford, meskipun kelab itu berhasrat untuk mengekalkan pemain perancang berkenaan.
Beberapa pasukan lain turut dikaitkan untuk mendapatkan khidmat Eriksen sebelum ini termasuk bekas kelabnya, Tottenham.
Eriksen merupakan pembelian kedua United dalam jendela perpindahan kali ini selepas sebelum ini berjaya mendapatkan khidmat pertahanan sayap, Tyrell Malacia daripada Feyenoord.