PEMAIN sayap Manchester City, Riyad Mahrez bersetuju menandatangani sambungan kontrak selama tiga tahun bersama kelab tersebut sekaligus menyaksikan pemain Algeria itu akan kekal di Etihad sehingga tahun 2025.
Menurut Mahrez, dia nyata gembira selepas menandatangani kontrak baru bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL), sambil berharap dirinya mampu untuk menghadirkan lebih banyak kejayaan buat City.
Iklan
Iklan
"Saya sangat gembira selepas menandatangani kontrak baru bersama City. Sejak kali pertama tiba di kelab ini, saya rasa sangat seronok apabila beraksi di sini.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, Pep Guardiola, Txiki Begiristain (pengarah bola sepak), dan kakitangan kejurulatihan kerana banyak membantu dalam mengembangkan lagi bakat saya untuk menjadi pemain yang hebat.
"Sekarang saya hanya mahu mencuba mempamerkan aksi yang terbaik dalam setiap perlawanan, selain mahu memainkan peranan penting dalam membantu pasukan lebih berjaya pada musim depan dan seterusnya,” katanya.
Mahrez sudah menghabiskan empat musim terakhirnya di Etihad, sejak menyertai pasukan itu daripada Leicester City dengan tanda harga £60 juta (RM316.46 juta).
Sepanjang tempoh tersebut, Mahrez berjaya menghasilkan 63 gol dan 45 bantuan jaringan sepanjang 189 penampilannya bersama City, yang mana di mana dia turut menjulang tujuh trofi kejohanan utama.