SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu memimpin kerajaan bagi menyelamatkan rakyat dan negara.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, justeru PKR mesti memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Keadilan membuat kongres tahunan untuk terus mengukuhkan parti dan memperkuat Pakatan Harapan (PH) serta menjana seluruh kekuatan baharu untuk PRU15.
"Masuk PRU dengan matlamat jelas untuk menang dan memimpin kerajaan baru demi menyelamatkan rakyat dan negara. Masuk PRU15 untuk menang bukan untuk jadi pembangkang.
"Membiarkan kerajaan yang ada sekarang terus berkuasa dan kita menunggu PRU untuk membiarkan kerajaan sekarang berkuasa adalah satu malapetaka besar," katanya ketika berucap sempena Persidangan Kongres Nasional Tahunan ke-16 di sini, pada Sabtu.
Tambah Saifuddin, kongres kali ini akan mengikhtiarkan kesedaran memastikan kemenangan tersebut dengan hala tuju lebih jelas.
"Kongres dua hari ini, insyaALLAH akan mengikhtiarkan usaha ke arah itu dengan arah tuju yang akan diletakkan garis besar oleh presiden," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, kongres berkenaan menerima kehadiran seramai 17 tetamu dari kedutaan asing.
Antaranya dari Iraq, Singapura, Maldives, Australia, Rusia, Jepun, China, Ukraine, dan Amerika Syarikat (AS).