Thinaah idam emas di Birmingham

Iklan
Thinaah (kanan) dan Pearly Tan. - Foto Bernama

BEREGU wanita negara, M Thinaah percaya beliau dan pasangannya, Pearly Tan dapat mempertahankan pingat emas Malaysia pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England.

Thinaah berkata, kemenangan mengejutkan ke atas gandingan pilihan keempat Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dari Jepun dengan 21-14, 21-19 pada pusingan kedua dan menyingkirkan juara Terbuka Malaysia 2022 Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia, 21-18, 21-17 pada suku akhir Masters Malaysia 2022, telah memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan dominasi negara dalam kategori beregu wanita.

Iklan
Iklan

Gandingan nombor 11 dunia itu yang akan membuat penampilan sulung di Sukan Komanwel, berpeluang melakar hatrik untuk Malaysia dalam acara itu sekiranya mereka berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi berturut-turut oleh Vivian Hoo-Woon Khe Whei di Glasgow 2014 dan Gold Coast 2018.

"Kami tak nak letak tekanan kepada diri sendiri tetapi pingat emas sudah tentu menjadi satu daripada sasaran utama dan kami akan berusaha sedaya upaya," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini pada Jumaat.

Iklan

Walaupun berasa optimis untuk lulus dengan cemerlang dalam tugasan di Birmingham nanti, Thinaah berkata mereka akan berhati-hati dengan cabaran daripada pasangan tuan rumah, India dan Scotland di sana.

Ditanya sama ada ketiadaan pemain perseorangan profesional utama negara, Lee Zii Jia pada temasya itu akan meletakkan tekanan tambahan kepada skuad beregu untuk beraksi lebih baik dalam acara berpasukan campuran, Thinaah memilih untuk tidak terlalu memikirkan situasi itu.

Iklan

"Bagi saya, ia bergantung kepada siapa yang akan beraksi lebih baik pada hari itu. Saya rasa kami tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu (ketiadaan Zii Jia) kerana yang paling penting kita kena sokong sebagai satu pasukan, menang atau kalah kita sokong antara satu sama lain," katanya.

Kem badminton negara menerima tamparan hebat selepas Zii Jia mengumumkan penarikan diri daripada Sukan Komanwel berikutan jadual padat dan perlu fokus kepada kejohanan dunia yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun dari 21 hingga 28 Ogos.

Sukan Komanwel 2022 akan diadakan pada 28 Julai hingga 8 Ogos. - Bernama