PUTRAJAYA - Malaysia menggesa semua negara serta pihak yang terlibat untuk memberi kerjasama sepenuhnya mengikut Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 2166 (2014) berkaitan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Sabtu, sempena memperingati ulang tahun kelapan tragedi MH17, kementerian itu memaklumkan gesaan dibuat bagi memastikan pihak bertanggungjawab terhadap tragedi itu dibawa ke muka pengadilan menerusi prosiding jenayah yang bebas, terbuka dan telus dalam pendakwaan kebangsaan di Belanda ketika ini.
"Proses kehakiman yang menyeluruh mesti dilakukan untuk mendapatkan kebertanggungjawaban penjenayah dan menuntut keadilan bagi mangsa serta waris yang terlibat dalam tragedi MH17.
"Mencari kebenaran terhadap nahas yang berlaku akan terus menjadi keutamaan kami (Malaysia)," menurut kenyataan itu.
Pesawat Boeing 777 itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 apabila ia ditembak jatuh di bahagian timur Ukraine. Mengorbankan 298 penumpang termasuk kru pesawat itu.
Walaupun tidak dapat mengembalikan mangsa nahas terbabit ke dunia ini atau mengurangkan kesedihan serta keperitan yang dirasai ahli keluarga, MOT memberitahu, Malaysia tetap komited mencari kebenaran serta menuntut keadilan terhadap insiden itu.
"Kami (Malaysia) mengulangi rasa simpati dan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan insan tersayang mangsa nahas penerbangan MH17. Kami akan pastikan insiden tragis seperti ini tidak berulang lagi," menurut kenyataan itu.
Sebagai tanda solidariti bersama waris tragedi itu, MOT menyatakan pemergian kesemua mangsa akan terus diingati. - Bernama