175 murid Al Baghdadi ‘tunai haji’

Iklan
Murid-murid mengenakan pakaian ihram seperti mana haji yang sebenar.

PASIR PUTEH - Tadika Al Baghdadi Playtime Centre (APC) Kelantan buat julung kali membawa 175 muridnya merasai pengalaman menunaikan ibadah haji secara simulasi menerusi Program Haji Cilik 2022 yang berlangsung di Masjid Al Muhajirin, Selising di sini pada Khamis.

Pengarah Program Haji Cilik APC Kelantan, Murshida Muhamed berkata, murid-murid yang terlibat berusia enam tahun dari seluruh rangkaian APC negeri Kelantan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penganjuran program itu bertujuan memberi pendedahan kepada murid tadika cara-cara mengerjakan rukun Islam kelima secara terperinci dari segi teori dan amali.

Murid-murid Tadika Al Baghdadi Playtime Centre (APC) Kelantan melakukan tawaf pada Program Haji Cilik 2022 di Masjid Al Muhajirin, Selising, Pasir Puteh pada Khamis.

"Secara tidak langsung, ia memberi pemahaman yang lebih mendalam terhadap pembelajaran tentang tajuk haji dalam sukatan pelajaran subjek Jom Amal.

Iklan

"Di samping itu, program ini dilaksanakan bagi menanam keazaman untuk menunaikan ibadah haji pada usia muda,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Murshida menjelaskan, program terbesar pada tahun ini dijayakan dengan kerjasama 41 ahli jawatankuasa program dan mutawif dalam keadaan cuaca yang redup sepanjang program, sekali gus membuatkan peserta selesa menyempurnakan setiap simulasi rukun haji ditetapkan.

Iklan
Murid-murid mengutip batu untuk melontar pada Program Haji Cilik 2022.

"Peserta dibekalkan dengn air zam zam, kurma, pic dan kekacang sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.

"Program juga dapat memberikan pendedahan dan gambaran tentang proses pembelajaran dan pengalaman kepada murid-murid tentang perjalanan ibadah haji, di mana mereka akan merasai suasana panas, sesak dan turutan ketika melaksanakan ibadah haji yang sebenar.

"Mereka juga dapat mempraktikkan ilmu mengerjakan haji dan umrah dengan lebih sempurna melalui pengalaman ini,” ujarnya.

175 murid Tadika Al Baghdadi Playtime Centre (APC) Kelantan yang menyertai Program Haji Cilik 2022 di Masjid Al Muhajirin, Selising, Pasir Puteh pada Khamis.

Tambahnya, tawaf perdana telah dipimpin Yang Dipertua Majlis Guru Besar Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Malaysia, Muhammad Sharif Al Azhari merangkap Pengerusi APC Kuala Krai.

Menurut Murshida, murid-murid didedahkan dengan praktikal dan rukun-rukun haji menerusi cara yang lebih mudah untuk difahami merangkumi wukuf, melontar, tawaf, saei, tahallul dan korban.

"Pengalaman ini akan mencetuskan inspirasi dan keinginan serta meninggalkan kesan yang mendalam kepada murid-murid sehingga mereka dewasa kelak,” ujarnya.