JOHOR BAHRU - Seorang penuntut institut pengajian awam kerugian lebih RM18,193 selepas diperdaya sindiket menawarkan pekerjaan dalam talian yang menjanjikan pulangan berbentuk komisen dalam masa yang singkat.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, laporan polis dibuat mangsa lelaki berusia 22 tahun itu pada Jumaat selepas menyedari dirinya tertipu dengan tawaran sindiket tersebut.
"Mangsa tertarik dengan iklan pekerjaan dalam talian di laman sosial yang menggunakan nama platform e-dagang yang diketahui umum pada awal Julai lalu. Kemudian mangsa telah menekan link yang diberikan dan berkomunikasi melalui aplikasi WhatApps berkaitan kerja.
"Sindiket meyakinkan mangsa, di mana dia hanya perlu mengeluarkan modal awal untuk pembelian barangan tertentu dan modal mangsa akan dibayar serta-merta beserta 10 peratus komisen.
"Mangsa tertarik dengan tawaran berkenaan dan telah membuat pindahan wang ke tiga akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM18,193 sebagaimana arahan suspek," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Kamarul, mangsa merasakan telah ditipu setelah suspek mengarahkan mangsa membuat bayaran modal tambahan, sedangkan bayaran modal dan komisen sebelum itu belum diterima.
"Polis menjalankan siasaran meliputi penglibatan keldai akaun sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat.
"Pihak polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai tawaran pekerjaan dalam talian yang menjanjikan pulangan dan komisen dalam masa singkat," katanya.