SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan pihaknya menjadi punca masalah kelewatan serahan kunci Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana, Plentong di Johor yang terbengkalai lebih 10 tahun.
TNB dalam satu kenyataan menjelaskan, dakwaan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang menyatakan kelewatan tersebut berpunca akibat urusan dengan TNB adalah tidak benar.
Susulan itu, TNB telah mengadakan pertemuan dengan SPNB pada Khamis lalu bagi mendapatkan pencerahan.
"Dalam pertemuan tersebut, pihak SPNB telah memohon maaf atas kesilapan perkongsian maklumat kepada Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.
"SPNB memaklumkan punca kelewatan serahan kunci sebenarnya akibat masalah dalaman SPNB dengan pihak kontraktor utama projek lantikan SPNB,” kata TNB dalam kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, TNB mencadangkan agar pihak SPNB berbincang semula dengan kontraktor berkenaan supaya dokumen yang perlu berserta deposit dapat dimajukan kepada TNB secepat mungkin bagi membolehkan pemasangan meter elektrik untuk projek rakyat ini dilaksanakan dengan kadar segera
Sinar Harian pada 14 Julai lalu melaporkan masalah pangsapuri yang terbengkalai lebih 10 tahun itu akan disiapkan segera dan kunci diserahkan kepada pembeli secara berperingkat mulai Ogos ini.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, SPNB memaklumkan fasa dua projek itu sepatutnya diserahkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 31 Disember tahun lepas, namun mengalami kelewatan serahan kunci akibat urusan dengan TNB.