[DIKEMAS KINI] RATU ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah sekali lagi mengharumkan nama negara apabila berjaya merangkul pingat gangsa acara tricks wanita di Kejohanan Dunia Birmingham 2022 di Alabama, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.
Menurut laman web kejohanan https://twg2022.com/results/, atlet berusia 18 itu mengutip 7,960 mata keseluruhan untuk menduduki tempat ketiga daripada keseluruhan lima peserta dalam final yang berlangsung di Oak Mountain State Park.
Pingat emas dimenangi atlet Kanada Neilly Ross yang mengumpul 9,690 mata manakala pingat perak menjadi milik juara dunia dari AS, Anna Gay selepas meraih 9,190 mata.
Aaliyah akan meneruskan cabaran di Alabama dalam acara jump wanita final di venue sama awal pagi Ahad waktu Malaysia.
Sebagai rekod, Aaliyah Yoong mencipta dua rekod baharu Asia serta mencatat tiga rekod peribadi terbaik di Fluid Summer Showdown di Polk City, Florida bulan lepas.
Sementara itu, dalam kategori lelaki di Alabama, atlet tuan rumah Adam Pickos meraih pingat emas sementara Danylo Filchenko dari Ukraine dan peserta Perancis Pierre Ballon masing-masing memenangi perak dan gangsa.
Sementara itu Ketua Jurulatih Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF), Hanifah Yoong berkata Aaliyah telah mengikuti program awal pembangunan 10 tahun MWWF 2009-2018 dan program pembangunan lima tahun dari 2019 hingga 2023, untuk mencapai kedudukan 10 terbaik dunia.
"Azamnya cukup kuat dan dia amat berdedikasi dalam latihannya. Saya yakin dia akan menjadi tiga terbaik dunia tidak lama lagi.
"Insya-Allah dia mungkin menjadi juara dunia dalam tempoh lima tahun menjelang umurnya 23 tahun," kata Hanifah Yoong yang juga bapa Aaliyah. - Bernama