MAIS bantu penuhi keperluan mangsa banjir Kedah

Iklan
Abdul Aziz (empat kiri) bersama sebahagian wakil peserta konvoi Misi Bantuan Pasca Banjir MAIS ke Kedah

SHAH ALAM - Prihatin dengan nasib mangsa banjir yang terjejas di Kedah, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyumbang RM120,000 untuk memenuhi keperluan mangsa.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, sumbangan itu meliputi peruntukan daripada Baitulmal Mais dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) iaitu anak syarikat MAIS.

Iklan
Iklan

Katanya, daripada jumlah itu MAIS menyumbang wang RM50,000 dan 500 pek makanan asas bernilai RM50,000 manakala YIDE pula menyediakan 100 selimut dan 100 set dapur memasak bernilai RM20,000.

"Sumbangan wang akan diberikan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah bagi tujuan agihan kepada mangsa yang terkesan akibat banjir itu," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Bangunan Sultan Idris di sini pada Sabtu.

Iklan
Abdul Aziz (dua kanan) melakukan gimik pelepasan konvoi Misi Bantuan Pasca Banjir MAIS dan anak syarikat ke Baling, Kedah di Bangunan Sultan Idris Shah.

Abdul Aziz kemudiannya menyempurnakan majlis pelepasan konvoi kumpulan MAIS bersama agensi dan anak syarikat MAIS yang diketuai Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Hadir sama, Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah, Pengurus Besar Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) dan wakil Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).

Iklan