'Pelanggan' curi barang kemas RM35,000 diberkas

Iklan
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakam perbuatan suspek di sebuah premis di Teluk Intan. - Foto ihsan pembaca
TELUK INTAN - Seorang lelaki berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan barang kemas bernilai RM35,000 dalam kejadian di sebuah kedai emas di Jalan Mahkota di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, suspek berusia 45 tahun tiba di kedai berkenaan untuk melihat beberapa utas rantai tangan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, maklumat kejadian tersebut diterima daripada wanita berusia 50 tahun yang juga pemilik kedai emas.

"Mangsa berada di dalam premis bersama tiga pekerja telah didatangi suspek dan meminta untuk melihat beberapa utas rantai tangan sebelum ditunjukkan oleh salah seorang pekerjanya.

"Lelaki itu secara tiba-tiba membawa barang kemas itu keluar dari kedai tanpa membayarnya dan kejadian itu disedari mangsa yang menjerit meminta tolong," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, suspek melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang diparkir kira-kira 50 meter dari kedai tersebut.

"Semakan nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan didaftar atas nama seorang lelaki yang mana mempunyai empat rekod lampau melibatkan kes dadah.

"Bertindak atas maklumat, suspek akhirnya berjaya ditangkap pada jam 5 petang di kawasan perumahan di Jalan Lapangan Siber, Bandar Siber, Ipoh pada Jumaat," katanya.

Ahmad Adnan berkata, polis merampas barang kes iaitu dua rantai tangan dan seutas rantai leher yang dilaporkan hilang.

"Ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.