SHAH ALAM - Harga purata bagi kebanyakan varieti buah bermusim di Semenanjung Malaysia pada minggu ini lebih rendah berbanding waktu sama tahun lalu.
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menerusi ciapannya di Twitter pada Sabtu berkata, harga purata yang direkodkan itu lebih rendah walaupun harga minggu ini menunjukkan aliran peningkatan yang minimum berbanding minggu lalu.
Katanya, peningkatan minimum itu selaras dengan penurunan bekalan khususnya di Johor.
"Namun secara umumnya, harga puratanya lebih rendah berbanding tahun lalu pada waktu yang sama," katanya.
FAMA turut menyenaraikan perbandingan harga beberapa varieti buah bermusim tersebut mengikut kilogram antaranya durian musang king yang purata harga semasanya RM46 berbanding RM47 pada tahun lalu.
Ia diikuti durian D24 yang purata harganya kini RM24 berbanding RM25 pada waktu sama tahun lalu, durian IOI RM25 (RM27), durian klon RM16 (RM20), durian kampung RM10 (RM10.50) dan manggis RM6.75 (RM8.95).