Sorok PATI dalam rumah kosong

Iklan
Sebahagian daripada PATI yang berjaya ditahan oleh PGA dalam dua serbuan pada Jumaat di Rantau Panjang.

RANTAU PANJANG - Taktik menyorok pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di dalam sebuah rumah kosong di Kampung Banggol Kulim di sini, terbongkar selepas diserbu anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan pada Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penahanan kesemua PATI itu dilakukan PGA pada jam 8.30 malam hasil maklumat risikan.

Iklan
Iklan

"Dalam serbuan itu, PGA telah menahan lima lelaki berusia 15 hingga 27 tahun yang berada di dalam rumah tersebut.

"Hasil pemeriksaan didapati kesemua lelaki tersebut tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan mereka dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Muhamad Zaki berkata, pada hari yang sama jam 11.30 malam, Batalion 9 PGA Kuala Terengganu menahan enam lelaki warganegara Myanmar berusia 19 hingga 36 tahun di Kampung Lubok Kawah di sini.

Menurutnya, tangkapan dilakukan selepas PGA mengesan sebuah kenderaan jenis SUV Nissan X-Trail berwarna hitam dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Kubang Pak Hitam di sini.

Iklan

Bagaimanapun katanya, setelah menyedari kehadiran PGA, pemandu tersebut memecut laju menuju ke arah Meranti.

"Setibanya di kawasan Kampung Lubok Kawah, anggota mendapati kenderaan tersebut telah ditinggalkan di tepi jalan sementara pemandunya melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan terdapat enam warganegara Myanmar dan tidak mempunyai sebarang pengenalan diri," katanya.

Tambahnya, kesemua rampasan dan tangkapan dibawa ke Balai Polis Bakong untuk tindakan lanjut.

Muhamad Zaki berkata, semakan ke atas pemilik kenderaan didapati ia didaftarkan atas nama sebuah syarikat beralamat di Seri Kembangan, Selangor.

Menurutnya, kedua-dua kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 55E dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.