Majukan pelancongan alam semula jadi, wartakan hutan simpan kekal

Iklan
Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan Datuk Bakri Sawir (tengah) menyampaikan sijil pelantikan kepada jurupandu Gua Batu Maloi. Hadir sama Pengarah JPNS Saleh Awaludin (kanan)

KUALA PILAH - Lebih banyak Kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di Negeri Sembilan akan diwartakan sebagai kawasan hutan perlindungan.

Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan Datuk Bakri Sawir berkata, ia sebagai salah satu usaha kerajaan negeri memajukan sektor pelancongan alam semula jadi.

Iklan
Iklan

"Ketika ini terdapat 155,102 hektar kawasan HSK iaitu 23 peratus daripada keluasan Negeri Sembilan. Seluas 60 peratus berfungsi sebagai hutan pengeluaran dan bakinya sebagai hutan perlindungan.

"Bagaimanapun, fungsi hutan itu akan diperkemaskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) untuk meningkatkan jumlah keluasan hutan perlindungan kepada 60 peratus dan 40 peratus sebagai hutan pengeluaran," katanya ketika berucap sempena perasmian pembukaan Taman Eko-Rimba Batu Maloi di sini, pada Sabtu.

Iklan

Dalam majlis sama, Bakri menyampaikan sijil pelantikan jurupandu Gua Batu Maloi kepada 15 peserta yang ditauliahkan sempena pembukaan semula kawasan tumpuan pelancongan tersebut bermula pada Ahad.

Menurutnya, ketika ini terdapat 11 kawasan eko-pelancongan di bawah seliaan JPNS serta enam kawasan pendakian gunung yang menjadi tarikan pengunjung.

Iklan

"Aktiviti 'back to nature' sudah jadi satu trend dan sebab itu JPNS usaha menaik taraf kawasan eko-pelancongan yang ada.

"Bagi saya, usaha JPNS mewujudkan jurupandu gua yang diiktiraf dapat meningkatkan sistem penyampaian dan mutu perkhidmatan di kawasan eko-pelancongan," katanya.

Sementara itu Pengarah JPNS Saleh Awaludin berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan pusat rekreasi Gua Batu Maloi terpaksa ditutup dua tahun kepada orang awam.

Katanya, bagi mengelakkan sebarang risiko kejadian tidak diingini, jabatan mengambil initiatif menyediakan jurupandu Gua Batu Maloi terlatih dan diiktiraf.

"Pendaftaran sebagai jurupandu terhad kepada peserta yang lulus dalam kursus diadakan pada 15 hingga 17 Mac lalu.

"Seramai 22 orang jurupandu berjaya dan layak untuk dilantik dan mereka berperanan membantu mengurus aktiviti secara lebih efektif serta mengoptimumkan keselamatan pengunjung berpandukan prosedur operasi standard (SOP) meneroka Gua Batu Maloi yang disediakan," katanya.