'Memang sikap Rafizi, saya tak terkesan' - Anwar

Iklan
Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim langsung tidak terkesan dengan kritikan Rafizi Ramli terhadapnya.

Anwar sebaliknya berkata, beliau sudah terbiasa dengan situasi sedemikian kerana Timbalan Presiden PKR yang baharu itu memang bersikap lantang.

Iklan
Iklan

Pada masa sama, beliau percaya ia tidak akan berterusan kerana Rafizi juga mempunyai sisi positif dan tahu tentang fokus dan peranannya.

"Saya tidak terkesan dan yakin ia tidak akan berterusan. Saya kenal dia, saya tahu dia pun ada sikap yang positif, dia tahu fokus dan peranan dia. Cuma sekarang ini dia bukan lagi Rafizi di pinggiran, dulu yang diwawancara itu Rafizi di pinggiran.

Iklan

"Sekarang dia dalam barisan kepimpinan, jadi dia harus terima kenyataan kerana sebahagian tugas saya akan serahkan kepada dia.

"Dia akan dipertanggungjawabkan secara langsung, bukan lagi Anwar ataupun Saifuddin (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) ataupun pimpinan yang lain,” katanya sewaktu sidang akhbar pada Kongres Nasional Ke-16 PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kenyataan Rafizi bahawa parti harus menerima hakikat yang Anwar telah hilang popularitinya dan mengingatkan supaya barisan kepimpinan yang baharu untuk tidak membodek atau mempertahankan Anwar apabila dikritik.

Rafizi menegaskan, jika sekiranya ditakdirkan Anwar melakukan kesilapan, beliau tetap akan bersuara dan tak akan berdiam diri.

Tambah Anwar, dia tidak mahu memanjangkan isu berkenaan kerana sudah masak dengan sikap Rafizi.

"Saya tak mahu panjangkan isu ini kerana ini Rafizi, kalau dia tak gunakan forum itu untuk menyinggung sikit-sikit, itu bukan dialah.

"Saya harap mudah-mudahan dalam beberapa perbincangan awal nanti kita pujuk supaya reda hal ini dan kita tumpu menyerang musuh dan tumpu menguatkan parti.

"Saya tahu potensi dia, saya tahu kekuatan dan keupayaan dia dan seperti dia, saya juga tahu kelemahannya. Dan antara lain, adalah meredakan suhu parti,” jelasnya.