Sindiket penipuan guna keldai akaun di Melaka meningkat

Iklan
Gambar hiasan.
MELAKA - Sindiket penipuan membabitkan penggunaan 'keldai akaun' atau akaun tumpang di Melaka mencatatkan peningkatan sebanyak 13.09 peratus kepada 501 kes dengan kerugian RM12.3 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 443 kes melibatkan kerugian RM10.3 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, sindiket penipuan tersebut membabitkan tujuh modus operandi (MO) iaitu African Scam dengan jumlah kes sebanyak (30 kes) , Macau Scam (157 kes), pinjaman tidak wujud (98 kes), belian dalam talian (115 kes), tawaran kerja tidak wujud (118 kes), menyamar rakan pinjam wang (33 kes) dan pelaburan (107 kes).

"Antara punca berlaku peningkatan kes keldai akaun ialah kurangnya pendedahan terhadap jenayah melibatkan transaksi kewangan dan desakan hidup yang menyebabkan pemilik akaun sanggup membiarkan akaun mereka digunakan sindiket penipuan semata-mata untuk mendapatkan komisen atau bayaran.

"Berdasarkan peningkatan kes semasa, Polis Melaka akan mempergiatkan program turun padang untuk memberi penerangan dan maklumat jelas berkaitan MO penipuan ini termasuk keldai akaun yang dilihat agak serius," katanya kepada pemberita selepas Program Walkabout Polis Melaka Bangunan Stadthuys di sini pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, Macau Scam mencatatkan penggunaan keldai akaun tertinggi iaitu sebanyak 157 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM5.4 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 57 kes dengan kerugian RM3.5 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata, penggunaan akaun tumpang membabitkan tawaran kerja tidak wujud juga merekodkan peningkatan sebanyak 112 kes kepada 118 kes dengan kerugian sebanyak RM1.8 juta dalam tempoh sama tahun ini berbanding hanya enam kes dengan kerugian RM64,920 dalam enam bulan pertama tahun lepas.

Beliau berkata, selain itu, sebanyak 339 tangkapan melibatkan penggunaan keldai akaun telah dilakukan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 269 orang dalam tempoh sama tahun lepas. - Bernama