SELANGOR FC menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menewaskan Penang FC 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya sebentar tadi.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Selangor FC berpeluang membuka tirai jaringan pada minit ke-17, namun dua percubaan berturut-turut menerusi Brendan Gan dan Quentin Cheng gagal menemui sasaran.
Penyerang import Selangor FC, Herlison Caion turut berpeluang merobek kubu pelawat pada minit ke-28, namun sepakan gunting dilakukan pemain dari Brazil itu melambung tinggi.
Bersambung babak kedua, giliran Penang FC pula hampir memecahkan kebuntuan gol, namun percubaan Hilal Alhelwe sedikit tersasar pada minit ke-50.
Penang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Syukri Hamid melakukan terjahan keras dari belakang ke atas Mukhairi Ajmal seterusnya meraih kad kuning kedua pada minit ke-68.
Percaturan pengendali Selangor FC, Michael Feichtenbeiner memasukkan Shahrel Fikri ternyata membuahkan hasil apabila dia meledak gol pada minit ke-73.
Seorang lagi pemain gantian Selangor FC, Syahir Bashah turut mencetak namanya selaku penjaring selepas melakukan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-79.
Kejayaan itu membolehkan Gergasi Merah melonjak ke tangga kelima liga dengan mengumpul 15 mata selepas merakamkan kemenangan keempat musim ini.
Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, KL City FC terpaksa berpuas hati mengutip satu mata selepas sekadar seri tanpa jaringan menentang PJ City FC dalam satu lagi aksi Liga Super sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad The Phoenix terus kemarau kemenangan selepas mengharungi tujuh perlawanan, sekali gus semakin rapat dengan zon penyingkiran.