Sastera dalam pandangan budaya

Iklan
Novel ini pernah ditarik subjek budayanya, yang kemudian mengaplikasi teori sosiologi.

DI tengah-tengah kerancakan karya pelbagai genre, ada yang mendapat kritikan dan kajian yang mendalam dengan pelbagai teori sastera, namun terasa ada sebuah aspek penelitian yang amat langka iaitu sentuhan daripada pendekatan budaya.

Amat terasa aspek budaya itu tercicir dan hampir terpinggir. Analisis sastera kita banyak menumpukan kepada aspek sosial, pendidikan, ekonomi dan politik.

Iklan
Iklan

Sosial diteliti oleh teori sosiologi, pendidikan dengan teori moral, ekonomi dengan teori Marxis, sejarah dengan teori historikal dan politik dengan teori pascakolonialisme.

Jika kita susuri nama-nama teori sastera zaman moden, tidak terdapat teori sastera budaya.

Iklan

Analisis budaya meminjam teori sosiologi. Kondisi inilah yang menyebabkan karya sastera jarang mewacanakan subjek budaya. Betapa banyaknya karya yang menggarap subjek kebudayaan terabai dan dilupakan.

Teori-teori sastera pascamoden pula pada peringkat awalnya juga menihilkan kajian budaya. Hinggalah Stephen Greenblatt (1980) pendiri teori new historisisme memasukkan analisis budaya di dalamnya. Namun kedudukannya di belakang analisis aspek sejarah. Kajian-kajian budaya dalam sastera masih terasa kering dan remang.

Iklan

Mujurlah, beberapa tokoh seperti Alan Sinfield mahukan analisis budaya diberi ruang sendiri dan akhirnya dia mengisytiharkan keluar daripada new historisisme, lalu mendirikan teori studi budaya.

Teori studi budaya menganalisis secara analitikal dan rinci serta masuk ke dalam teks-teks budaya.

Alan Sinfield juga menyatakan bahawa teori budaya mengkaji segala tindakan manusia memasuki dan membentuk kekuatan budayanya.

Fahami bangsa

Perkataan budaya merujuk kepada semua hasil seni termasuk teks-teks sastera tinggi, teks sastera popular seperti TV dan media elektronik.

Sastera ialah cara yang sangat berkesan untuk memahami budaya sesuatu bangsa, kaum dan kumpulan masyarakat.

Sastera juga menggambarkan tentang budaya rakyat di sesebuah negara. Sastera memberi gambaran budaya masa silam, naratif budaya terkini dan citra budaya masa mendatang.

Teori studi budaya, menghuraikan subjek pengarang dan melihat hubungannya dengan konteks budaya.

Aspek lain ialah meneliti aspek-aspek yang berkaitan dengan pembentukan individu dan peranannya dalam pembentukan budaya masyarakat. Mengkaji persamaan dan perbezaan budaya dalam dunia sastera secara global (Womack, Kenneth, 1999).

Demikianlah pula dengan budaya, sebagai wacana adalah kepercayaan, kebiasaan, moral, seni dan hukum yang dianuti oleh masyarakat.

Menurut Grahamn Holderness (2009), konsep budaya dalam suatu konstruksi adalah peradaban yang secara ironi menunjukkan bahawa dalam perilaku dan praktisnya dibentuk oleh masyarakat, dan penyesuaian diri dengan ukuran serta nilai yang mengandungi konstrain dan mobiliti.

Holderness menekankan teori budaya menganalisis dimensi budaya yang berhubungan dengan perjuangan, ketegangan dan konstradiksi yang berlaku dalam sesebuah masyarakat, yang konteks dengan ideologi dan kekuasaan.

Sesuai sebagai teori konteks yang melihat hubungan sastera dengan segala sudut budaya, teori itu cuba memberi kesedaran pembudayaan dalam membentuk sivilisasi kehidupan.

Seseorang individu itu adalah ahli dalam sebuah budaya yang dihadirinya, cara ia mengenal dan menguasai budayanya merupakan tindakan-tindakan yang berbeza antara seseorang dengan seseorang yang lain.

Ada orang yang hanya diam sebagai ahli biasa tetapi ada orang yang aktif secara agresif membentuk peradaban bangsanya.

Manusia pembentuk ini mempunyai kuasa dan pengaruhnya, dan dialah juga yang membawa pembaharuan serta kemajuan atau sebaliknya.

Justeru, teori studi budaya juga tidak secara langsung membicarakan konsep humanisme.

Dalam konteks ini, perubahan-perubahan selalu diiringi oleh irama zamannya atau dia sendiri yang mencipta irama perubahan itu.

Alan Sinfield (1992) menghubungkan kajiannya dengan budaya pascamoden yang secara drastik budayanya tumbuh dan berkembang tangkas.

Pascamoden adalah suatu zaman perubahan budaya dan inilah yang dihadapi oleh teori studi budaya. Mengkaji teks daripada konteks subjek yang dibicarakan pengarang sambil mencari nilai-nilai teks yang relevan dengan zamannya.

Dalam metode teoretisnya, kaedah humanisme liberal yang tersohor pada zaman moden, digantikan dengan pendekatan analisis pasacamoden yang menguasai dunia penilaian sejak tahun 2000.

Teori studi budaya dalam praktis analisisnya memasuki dunia politik, bererti memasuki analisis ke wacana kuasa yang hegemonikal sifatnya.

Pengkritik

Juga mengkaji peranan individu dalam pembentukan individualiti dalam gerakan budayanya, dihubungkan dengan pembentukan sosial yang mengarah kepada konsep kebudayaan.

Begitulah dasar-dasar penting teori studi budaya yang sudah diasaskan pada tahun 1990-an tetapi bagaikan tidak disedari oleh para pengkritik dan pengkaji sastera.

Tidak ternampak kritikan yang mengaplikasikan analisis budaya sehingga teks-teks budaya ketinggalan zaman.

Sukar kita mencari pascasiswazah di peringkat sarjana atau kedoktoran menyiapkan tesis melakukan kajian yang mengaplikasikan teori studi budaya.

Begitu juga kritikan tidak menemui untuk masuk ke dalam teks dengan teori studi budaya.

Novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman karya Anwar Ridhwan pernah ditarik subjek budayanya, namun mengaplikasikan teori sosiologi.

Teori studi budaya ini juga, kerana ia meminjam kaedah semiotik cuba mencari makna yang tersembunyi di sebalik pertandaannya.

Ia juga sesuai dengan teks autobiografi, justeru seseorang pengarang itu menceritakan dirinya dan hubungannya dengan budaya serta perubahan-perubahan peradaban yang dialaminya sendiri.

Diharapkan kajian atau kritikan terhadap aspek budaya di dalam karya sastera akan diperhatikan. Sesungguhnya budaya itu adalah asas peradaban bangsa.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia