SHAH ALAM - Ahli dan barisan kepemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan supaya tidak menyerahkan tengkuk dan memberi ‘peluru’ kepada musuh untuk menyerang parti.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menegaskan, setiap anggota dan pemimpin perlu bertanggungjawab untuk mempertahankan parti serta setiap keputusan yang telah diputuskan termasuk senarai calon yang akan diketengahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
"Tidak perlu nak sebut itu ini dalam WhatsApp sampai ada yang ‘screen shot’ (tangkap layar) dan sebarkan. Saya nak nasihatkan, jangan beri musuh kita peluru. Saya sangat terkilan dengan sikap beberapa dalam kalangan kita yang buat laporan polis, (laporan kepada) Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), kenapa serahkan leher, tengkuk kita kepada musuh?.
"Jadi saya nak ingatkan kepada semua dalam Majlis Perwakilan Pusat (MPP) yang baharu ini, tidak boleh duduk diam, mesti aktf dan proaktif, mereka yang terlibat dan sengaja membenarkan parti diserang, mengadu domba di luar, menabur fitnah terhadap pimpinan, perlu dikenakan tindakan disiplin.
"Biarlah proses membuat keputusan itu berlaku dalam jemaah dan apabila dah buat keputusan, kita bertanggungjawab untuk pertahankan. Kalau tak bersetuju sekalipun, biarlah tak setuju dalam mesyuarat,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional PKR ke-16 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad.
Sementara itu berhubung PRU15, Fahmi menegaskan tiga perkara perlu diambil perhatian untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PKR.
"Pertama, menang semua kerusi yang kita pegang sekarang. Kedua, menang kembali semua kerusi yang mengkhianati sekali gus menamatkan riwayat 'katak' politik.
"Akhir sekali, pimpinan baharu harus nyatakan kerusi stragetik yang perlu diberi tumpuan 100 peratus untuk memberi beri kekuatan kepada parti dan menang supaya menjadi tonggak di Putrajaya," katanya.
Dalam pada itu, beliau percaya pilihan raya boleh berlaku pada bila-bila masa selepas tempoh memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) tamat pada 31 Julai ini.
"Ini bermaksud dari saat kita keluar kongres hari ini, tidak akan ada lagi cai itu atau cai ini. Yang ada hanya 'team' (pasukan) Keadilan.
"Tetapi untuk 'team' (pasukan) kita utuh dan kukuh, semua perlu bersama dan berikan kepercayaan kepada saf kepemimpinan baharu," tegasnya.