LIMA kali terkandas di separuh akhir dan satu kali tewas di peringkat akhir.
Itu pencapaian beregu nombor satu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik daripada keseluruhan lapan kejohanan disertai tahun ini.
Pencapaian dilakar naib juara Kejohanan Badminton Asia 2022 di Manila, Filipina, Mei lepas itu mungkin pahit untuk ditelan lebih-lebih lagi dengan nasib dialami Aaron-Wooi Yik yang masih lagi kempunan menjulang sebarang gelaran sejak digandingkan pada 2017.
Justeru, Wooi Yik berkata, beliau bersama gandingannya perlu lebih berani terutama ketika mereka semakin hampir untuk menamatkan badi tanpa sebarang gelaran selepas sering kali disekat lawan di peringkat separuh akhir.
"Selalunya, pusingan pertama hingga suku akhir tiada masalah bagi kami tapi bila di separuh akhir khususnya lawan gandingan utama, kami kena lebih yakin.
"Saya rasa bukannya kami takut berdepan mereka (gandingan utama) namun ia lebih kepada kepercayaan diri kami seperti nasihat Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia Rexy Mainaky yang mahu kami lebih berani,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelasnya, walaupun Rexy sering menasihati pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu untuk lebih ‘garang’ di peringkat separuh akhir, Wooi Yik mengakui bukan mudah untuk melakukannya namun berazam untuk terus memperbaiki kelemahan tersebut.
Dalam pada itu, Wooi Yik berkata beliau sama sekali tidak menghiraukan komen negatif yang dilontarkan netizen menerusi media sosial terutama ketika mereka tewas dalam mana-mana pertandingan.
"Saya tidak akan peduli (komen netizen), mungkin nampak (lihat komen) tapi tak masuk dalam hati,” katanya. - Bernama