Hilang dua anak akibat nahas dalam tempoh empat bulan

Iklan
Mohd Abdul Sani menunjukkan gambar arwah anaknya (kanan) bersama isteri, Masitah ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HPP.

GEORGETOWN - Luluh hati seorang ibu apabila kehilangan dua anak dalam tempoh empat bulan akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Masitah Md Isa, 44, berkata, dia baru kehilangan anaknya, Muhamad Shazril Haikal Mohd Abdul Sani, 20, pada Mac lalu selepas terlibat dalam kemalangan di Parit Buntar, Perak membabitkan motosikal ditunggangnya dengan sebuah treler.

Iklan
Iklan

Katanya, belum habis kesedihan dengan kejadian yang menimpa anak ketiganya itu, dia kini kehilangan anak sulungnya, Muhamad Shazwan Hakim, 22,selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa buah motosikal di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, awal pagi Ahad.

Dia yang ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) berkata, walaupun sedih, dia reda dengan ketentuan Illahi apabila hilang dua anak kesayangan pada tahun ini.

Iklan

Selain Muhamad Shazwan, turut terlibat dalam kemalangan itu adalah kembarnya, Muhamad Syazwan Hafis yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi HPP kerana parah. namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Bercerita lanjut, Masitah berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa anak kembarnya itu selepas dihubungi rakan kepada anaknya.

Iklan

"Selepas mendapat tahu, saya terus ke lokasi kejadian untuk melihat apa yang berlaku. Saya tergamam selepas melihat beberapa orang bergelimpangan di atas jalan lalu terus mencari dua anak saya.

"Mula-mula saya panggil nama adik (Muhamad Syazwan Hafiz) dan dia mengangguk. Saya kemudiannya memanggil nama abang (Muhamad Shazwan Hakim) tetapi dia tiada respons, kaku dah. Saya hilang kata-kata," katanya.

Dia yang tinggal di Batu Maung menambah, arwah anaknya langsung tidak menunjukkan perubahan sebelum meninggal dunia, malah sempat meminta adik perempuan memicit kakinya.

"Pada jam 12 tengah malam tadi, arwah sempat minta adik perempuannya memicit kaki, dia kata kaki dia sakit. Masa itu, tak nampak apa-apa perubahan. Selepas itu, dia dan adik kembarnya keluar bersama rakan-rakan lain.

"Mereka berdua (kembar) memang rapat, malah kerja pun sama, sebagai 'runner' insurans. Arwah ni suka bantu saya dan keluarga, tak pernah berkira bab wang ringgit.

"Saya terkilan kerana arwah dijangka akan melangsungkan perkahwinan pada Disember ini setelah bertunang pada tahun lalu, namun tidak kesampaian," katanya.

Masitah turut meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian tersebut dengan mengatakan ia berpunca daripada lumba haram.

"Jangan kecam dengan kematian anak saya ini, dia anak yang baik.

Tiga mangsa difahamkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga lagi parah.

"Dia dan rakan-rakannya hanya suka menunggang motosikal sahaja, hentikan kecaman semua," katanya sayu.

Muhamad Shazwan Hakim antara yang maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu pada jam 4.30 pagi Ahad yang membabitkan beberapa buah motosikal dan kereta.

Difahamkan, dalam kemalangan tersebut, tiga maut di tempat kejadian manakala tiga lagi parah.

Sementara itu, Shahiril Rohaiza Ramli, 46, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi rakan anaknya kira-kira jam 4 pagi.

Shahiril Rohaiza merupakan ibu kepada mangsa, Muhamad Eizreel Muhamad Roszaidi, 25, yang turut meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dia yang bekerja sebagai pembantu klinik berkata, sebelum Hari Raya Aidiladha lalu, dia sempat menasihati anak sulungnya itu agar berhati-hati menunggang motosikal.

"Dia memang suka motosikal, dan dia sangat minat dengan bidang membaiki motosikal. Dari kecil, dia baiki basikal, bila besar, dia baiki motosikal pula.

"Saya tidak sangka, dia meninggal dunia pun, berpunca daripada minatnya itu (motosikal)," katanya.

Tambahnya, dia tidak menyangka sikap anaknya yang tidak mahu memandang mukanya ketika singgah di rumah yang terletak di Kampung Tersusun, Sungai Ara adalah petanda akhir sebelum meninggal dunia.

"Arwah bekerja sebagai mekanik di Saujana Height dan tinggal di Bukit Gedung bersama isteri serta dua anaknya yang berusia lapan dan empat tahun, namun dia selalu singgah di rumah saya, boleh kata setiap hari.

"Tetapi sejak seminggu dua ni, dia macam mengelak daripada memandang muka saya, saya hairan juga tetapi tidak fikir lebih. Kali terakhir dia datang rumah saya pada Sabtu petang, tetapi saya tiada kerana bekerja. Dia jumpa adik dia saja," katanya.

Pihak polis bagaimanapun sehingga kini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian terbabit.