Saya lantang tetapi saya bukan Azmin Ali: Rafizi

Iklan
Rafizi ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional PKR ke-16 di IDCC pada Ahad. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menegaskan beliau akan terus bersikap lantang meskipun tegurannya terhadap parti akan menyebabkan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkecil hati.

Sebaliknya menegaskan, beliau tidak akan sesekali mengikut jejak bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengkhianati parti selepas menabur pelbagai janji mengenai kesetiaan terhadap PKR dan Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Iklan
Iklan

"Saya nak sebut kepada Anwar Ibrahim, saya mungkin lantang tetapi saya bukan Azmin Ali. Saya sudah buktikan tidak berminat dengan jawatan menteri atau jawatan awam. Kalau Anwar ingat pada Ramadan 2021, beliau pujuk kalau ada kesempatan di Putrajaya, boleh atau tidak tolong pertimbangkan tempat, saya tidak bagi kata ‘ya atau tidak’ sebab saya tidak berminat.

"Semasa PKR menang pada 2018, saya kembali menjadi orang biasa, tidak menyandang sebarang jawatan dan tidak dapat satu sen (namun) tidak pernah kesal kerana itu pilihan saya. Saya masuk ke dalam parti ini bukan untuk jawatan.

Iklan

"Cuma kalau saya kritik maknanya kamu yang pegang jawatan, jangan hampakan harapan dan tanggungjawab yang kami letak,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional PKR ke-16 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad.

Sebelum ini Anwar dilaporkan tidak terkesan dengan kritikan Rafizi sebaliknya sudah terbiasa dengan situasi sedemikian kerana Timbalan Presiden PKR yang baharu itu memang bersikap lantang.

Iklan
Rafizi dan Anwar bersalaman di pentas utama ketika sesi penggulungan Kongres Nasional PKR ke-16 di IDCC pada Ahad. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Teguran tersebut dibuat susulan Rafizi berkata parti harus menerima hakikat yang Anwar telah hilang populariti dan mengingatkan supaya barisan kepimpinan yang baharu untuk tidak membodek atau mempertahankan presiden apabila dikritik.

Sementara itu Rafizi turut mengingatkan Anwar bahawa beliau bukan individu yang menabur janji manis tetapi tikam belakang dengan merujuk kepada perbuatan Azmin.

"Saya tidak pernah berjanji semasa Anwar dalam penjara, akan pecah tembok penjara untuk bebaskan dia. Depan janji, belakang dia pergi runding dia nak jadi calon Perdana Menteri. Saya memang tidak angkat, julang, atau puji, kalau presiden nak kecil hati, kecil hatilah.

"Saya harap dihakimi dan diadili dengan usaha, kerja dan konsistensi saya menyebut beberapa perkara sebab semasa Anwar dalam penjara, kami tunggu tembok (penjara) tak pecah-pecah, akhirnya kami terpaksa keliling satu Malaysia untuk memenangkan ahli kerana yakin hanya dengan kemenangan PKR akan dapat membebaskan Anwar dari penjara.

"Ini janji saya kepada parti, saya akan terus bercakap seperti ini (lantang), mulut saya tak akan manis sampai bila-bila, saya tak reti cakap berlapik sebab saya berpandangan berbeza. Apatah lagi kalau kita berada di tempat memikul tanggungjawab dan amanah untuk jaga rakyat dan negara,” ujarnya.

Sementara itu Rafizi turut memohon diberi mandat memimpin persiapan jentera parti menjelang PRU15.

"Kita kena memperkemaskan persiapan menghadapi PRU15 secepat mungkin dengan memperkuatkan jentera parti. Kita tidak ada masa yang panjang, kalau pilihan raya tiga atau empat bulan daripada sekarang, masanya cukup pendek.

"Banyak yang kita kena buat dan saya akan mula turun ke kawasan Parlimen tumpuan bermula minggu pertama Ogos ini. Saya minta selepas ini pimpinan MPP sama-sama turun ke negeri dan cabang dalam tempoh dua, tiga minggu daripada sekarang untuk bertemu serta perbetulkan jentera.

"Anda telah dipilih, sekarang adalah masa untuk melaksanakan tanggungjawab dan yang penting ialah membela maruah parti dalam pilihan raya nanti,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional PKR ke-16 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad.

Dalam pada itu Rafizi turut mencadangkan penubuhan Koperasi Keadilan bagi memberi kemudahan kepada anggota parti selain dapat membantu rakyat menjana pendapatan.