SHAH ALAM - Kehadiran Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dalam saf pimpinan utama parti itu diibaratkan sebagai ‘panadol’ oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Anwar, selaku Presiden parti, dia berasa bangga dengan pimpinan utama parti yang baharu dan menyifatkannya sebagai generasi penerus yang menjiwai semangat yang kental.
"Kita dapat saksikan hari ini (Ahad) dengan ucapan-ucapan pimpinan utama, termasuk Rafizi. Ya, memang kontroversi (kenyataan Rafizi). Kadang-kadang, pening saya dibuatnya.
"Saya bisik dengan dia tadi awal-awal. Rafizi ni, lama dah (layan kerenah) dengan kamu ini. Janganlah tambah pening aku.
"Rupa-rupanya, dia datang bagi panadol, hilang pening saya,” katanya dalam ucapan penangguhan Kongres Nasional Ke-16 PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Ahad.
Anwar menambah, beliau sudah lama mengenali Rafizi yang disifatkannya mempunyai kemahiran dan kepintaran yang luar biasa.
Beliau turut percaya, Rafizi dan pemimpin-pemimpin muda yang lain mempunyai kapasiti untuk membawa perubahan dan semangat kepada parti.
"Sebab itu, kadang kala ada singgungan sikit-sikit, saya sabar sajalah. Sebab orang yang kuat kerja dan cerdik ini, kadang-kadang beri pandangan atau singgungan yang memeningkan sikit.
"Tetapi saya nak beritahu Rafizi, saya tak berkecil hati kerana saya tahu sisinya baik. Masalahnya, penyokong ‘bebal’ ni ramai. Sebab, mereka tak faham erti perjuangan yang mana (walaupun berbeza) semangat ukhuwahnya tebal,” jelasnya.
Ujar beliau, walaupun ada kalanya pendapat yang diberikan Rafizi agak ‘sengit’, namun Rafizi bukanlah pengkhianat.
"Ada beza orang keras dan berpendirian dengan orang khianat. Dalam beberapa isu, mungkin menyanggah pendapat kita tapi dia bukan khianat, bukan kaki fitnah, bukan perompak dan perasuah.
"Apa yang kita nak ajak adalah berperang dengan orang yang rasuah dan orang khianat. Tumpu ke arah itu,” katanya.