KUALA TERENGGANU - Kematian penyu yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini mendorong Universiti Malaysia Terengganu ( UMT) menganjurkan kempen kesedaran 'Bring Our Turtles Back' di Pantai Batu Burok pada Sabtu.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Program Biologi Marin UMT, Profesor Madya Dr Muhammad Hafiz Borkhanuddin berkata, kempen itu bertujuan memperkasakan ilmu dan pengetahuan masyarakat setempat terhadap kelestarian hidupan penyu yang menjadi ikon di Terengganu.
Beliau berkata, 41 kes kematian penyu yang telah direkodkan di negeri ini dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sangat membimbangkan dan perlu dipandang serius kerana dikhuatir jumlah itu akan mengatasi 51 kes kematian sepanjang tahun lalu.
"Oleh itu, kempen 'Bring Our Turtles Back' ini diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menjaga kebersihan pantai dan apa sahaja tindakan yang boleh mengancam kelestarian penyu ini.
"Saya juga berharap agar semua yang hadir pada hari ini dapat menyampaikan ilmu-ilmu baharu yang dipelajari kepada ahli keluarga, rakan-rakan terdekat atau jiran-jiran supaya ilmu ini berpanjangan dan dapat diamalkan seterusnya berjaya menyelamatkan penyu yang kini sangat terancam," katanya.
Bertemakan 'Ikon Kita, Warisan Kita, Legasi Kita', program itu turut mendapat kerjasama dari beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat seperti Kapas Turtle, Pinang Films & VoxEureka, SeaKeepers International, Primula Beach Hotel, Ball Watch dan Malaysia Rail Link (MRL).
Antara aktiviti menarik dilakukan ialah pertandingan ukiran pasir penyu oleh 40 pasukan, pameran kesedaran mengenai penyu dan ancamannya serta gotong-royong membersihkan pantai secara serentak di tiga lokasi iaitu Batu Buruk, Tok Jembal dan Pulau Kapas.
Muhammad Hafiz berkata, kempen itu akan diteruskan dengan lawatan ke sekolah-sekolah di sekitar Kuala Terengganu dengan lebih banyak lagi aktiviti kesedaran marin yang akan dilakukan bersama pelajar.