NEW DELHI - Kebanyakan bakal raja sehari masa kini memeterai ‘kontrak perkahwinan’ sebagai perjanjian persefahaman sebelum mereka melayari bahtera rumah tangga.
Langkah sama turut diambil pasangan Shanti Prasad, 24, dan Mintu Rai, 25, yang menandatangani sebuah ‘kontrak tidak terikat’ ketika upacara perkahwinan mereka di Guwahati, negeri Assam di India malah perjanjian tersebut menjadi tular di media sosial.
Iklan
Iklan
Rakaman video berdurasi 16 saat itu juga mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial dan telah ditonton lebih 45 juta kali sejak dimuat naik di Instagram pada 22 Jun lalu.
Syarat utama dalam kandungan perjanjian itu yang mendapat perhatian ramai adalah ‘hanya satu piza sebulan’ berikutan Prasad merupakan seorang penggemar makanan berasal dari Itali tersebut.
Selain itu, terdapat beberapa syarat lain seperti Rai perlu menyediakan sarapan pagi pada setiap hari Ahad, membawa isteri keluar membeli-belah setiap tempoh 15 hari dan hanya boleh menghadiri mana-mana parti jika ditemani Prasad.
Syarat yang dipersetujui Prasad pula adalah pergi ke gimnasium dan memakai sari pada setiap hari.
Bagi mengelakkan mereka melanggar syarat yang ditetapkan, pasangan tersebut turut menggantung kontrak tersebut pada dinding rumah mereka. - Agensi