GEORGETOWN- Angkara cemburu dikatakan menjadi punca pergaduhan sepasang kekasih yang akhirnya menyebabkan kematian seorang wanita selepas dia dipukul dengan topi keledar dalam kejadian di Persiaran Bayan Indah di sini Ahad lalu.
Wanita berusia 37 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pagi tadi selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, dalam kejadian jam 6 petang itu, pasangan terbabit dikatakan keluar bersiar-siar dengan menaiki motosikal di Persiaran Bayan Indah sebelum mereka berhenti dan minum minuman keras bersama-sama.
Menurutnya, berlaku salah faham di antara mereka dan mangsa dalam keadaan mabuk menuduh kekasihnya itu mempunyai wanita lain sehingga menimbulkan kemarahan suspek.
"Berlaku pertengkaran di antara mereka dan teman lelaki yang berusia 55 tahun dikatakan bertindak memukul kepala mangsa dengan topi keledar sebelum pergaduhan itu dihentikan oleh orang ramai yang berada tidak jauh daripada lokasi kejadian.
"Polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi dan berjaya menahan suspek manakala mangsa yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke HPP untuk mendapatkan rawatan,"katanya ketika dihubungi di sini.
Che Zaimani berkata, siasatan awal mendapati suspek telah mengenali wanita berkenaan dan keluarga mangsa sejak kira-kira 15 tahun lalu namun baru berpasangan sebagai kekasih antara empat hingga lima bulan lalu.
Katanya, semakan yang dibuat mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik untuk bedah siasat dan suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam untuk tindakan lanjut.
"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.