KUALA TERENGGANU - Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) Khairul Azlam Mohamad meninggal dunia selepas sesak nafas di kediamannya di Taman Perumahan Permint Perdana di Seberang Takir dekat sini, kira-kira 4.30 pagi pada Isnin.
Menurut isteri Allahyarham, Wan Sabariah Wan Musa, 49, arwah yang berusia 51 tahun meninggal dunia secara mengejut selepas mengadu sakit dada ketika sedang menyiapkan kerja di rumahnya.
"Arwah pulang ke rumah kira-kira pukul 1 pagi tadi dan selepas itu dia sambung buat kerja di rumah.
"Bagaimanapun kira-kira pukul 4 pagi, arwah tiba-tiba mengadu sakit dada dan sesak nafas sebelum tidak sedarkan diri. Ambulans tiba kemudian dan mengesahkan bahawa arwah dah tiada," katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurut Wan Sabariah, sebelum kejadian, Allahyarham Khairul Azlam yang juga Ketua Biro Harakah Terengganu sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit kronik.
Katanya, solat jenazah akan diadakan di Masjid Jamek Tok Jiring pada 11 pagi ini dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maahad Tahfiz Wan Al Tarbiyyah, Tok Jiring.
Selain isteri, arwah turut meninggalkan sembilan anak yang berusia 10 hingga 25 tahun. - Bernama