KUALA LUMPUR - Bilangan ketua isi rumah yang dikategorikan sebagai miskin tegar kini meningkat kepada 144,932 setakat 30 Jun lalu susulan penggunaan metodologi pendapatan garis kemiskinan (PGK) 2019 serta impak pandemik Covid-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata, jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda berbanding 44,829 ketua isi rumah yang direkodkan tergolong dalam kumpulan itu pada tahun 2020 lalu.
Jelasnya, membasmi kemiskinan tegar merupakan salah satu sasaran dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada akhir tahun 2025.
"Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) merupakan pelengkap kepada program sedia ada untuk menangani isu kemiskinan merentasi semua etnik dalam Keluarga Malaysia.
"Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah diberi tanggungjawab untuk menyelaras dan memudah cara pelaksanaan program ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan rakyat dikategorikan sebagai miskin tegar bagi tempoh 2020 hingga terkini 2022.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, program pembasmian kemiskinan bukan sesuatu yang baharu kerana ia telah bermula sejak kemerdekaan dan dipergiatkan pada tahun 1970-an melalui Dasar Ekonomi Baru.
Bagaimanapun katanya, di bawah BMTKM, kaedah dan pendekatan dalam membasmi kemiskinan tegar adalah berbeza dan lebih holistik antaranya menubuhkan Unit Kemiskinan khusus pada peringkat persekutuan, negeri dan daerah serta mengguna pakai pendekatan keseluruhan negara berdasarkan masalah setempat.