KUALA LUMPUR - Kerajaan memulakan Pelaksanaan Penguatkuasaan Lesen Mengedar Tembakau atau Keluaran Tembakau secara berfasa bermula 1 Julai lepas, dan ia akan diteruskan sehingga pelaksanaan fasa 2 pada 1 Januari 2023 dan Fasa 3 pada 1 Januari 2024.
Kementerian Perusahaan dan Perladangan Komoditi (KPPK) dalam kenyataan pada Isnin berkata, fasa-fasa berkenaan melibatkan pelaksanaan kempen kesedaran dan hebahan, pelesenan pengedaran tembakau atau keluaran tembakau tanpa bayaran fi, dan penguatkuasaan sepenuhnya aktiviti pelesenan dengan bayaran fi.
Menurutnya peraturan yang dikuatkuasakan itu bertujuan mengatasi implikasi negatif terhadap industri tembakau.
"Peraturan ini dikuatkuasakan bagi mengatasi pengedaran tembakau serta produk tembakau tidak sah, yang selari dengan komitmen Kerajaan. Ketirisan pungutan cukai berikutan aktiviti pengedaran tembakau dan produk tembakau tidak sah dianggarkan sebanyak RM5 billion setahun," menurut kenyataan itu.
Sementara itu menurut kementerian berkenaan pelaksanaan penguatkasaan Peraturan Pelesenan ini juga akan memperkasakan lagi kawal selia industri tembakau dengan kerjasama LKTN dan agensi penguatkuasaan yang lain.
Menurutnya LKTN turut menyediakan kemudahan kaunter pelesenan, kios dan kaunter bergerak, serta kemudahan logistik seperti stor dan penyimpanan bagi memastikan penguatkuasaan peraturan yang teratur dan lancar.
Pelaksanaan Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2011 oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah mula dilaksanakan sepertimana diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lepas.
Penguatkuasaan Peraturan Pelesenan ini akan melibatkan lima jenis lesen iaitu Lesen Mengawet Tembakau, Membeli Tembakau Diawet, Mengilang Tembakau atau Keluaran Tembakau, Mengadun Tembakau dan Mengedar Tembakau atau Keluaran Tembakau.
Pada tahun ini, penguatkuasaan pelesenan melibatkan lesen mengawet tembakau, membeli tembakau diawet, mengilang tembakau atau keluaran tembakau dan mengadun tembakau telah dilaksanakan. - Bernama