KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Piliihan Raya (SPR) masih mengkaji mekanisme bagi membenarkan pengundi yang layak untuk mengundi di tempat mereka bekerja atau tinggal tanpa perlu pulang ke negeri masing-masing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah itu diambil bagi menyuburkan semangat demokrasi di negara ini.
Jelasnya, penambahbaikan itu juga secara tidak langsung boleh membantu meningkatkan peratusan keluar mengundi.
"Sebenarnya, saya sendiri yang membangkitkan perkara ini (benarkan pengundi luar mengundi di tempat mereka bekerja) kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun semasa Yang Dipertua menjadi Pengerusi SPR (sebelum ini).
"Jadi, adalah penting untuk SPR memikirkan bahawa (mungkin wujudkan) undi dalam talian dan atau sebagainya. Sebagai contoh ramai orang Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung dan begitulah juga sebaliknya.
"Mereka harus diberikan peluang untuk mengundi dan melaksanakan demokrasi (tetapi) dalam masa sama tidak mengganggu-gugat kerja mereka dengan membolehkan mengundi di tempat di mana mereka berada.
"(Bagaimanapun) ini masih dalam kajian dan pihak SPR juga masih kaji mekanisme,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee (PH-Bandar Kuching) yang bertanya adakah kerajaan bercadang untuk meminda akta untuk membenarkan pengundi luar mengundi di tempat mereka berkerja atau tinggal tanpa perlu pulang ke negeri masing-masing.