MADRID - Kebakaran hutan setakat ini telah memusnahkan lebih 22,000 hektar hutan dan belukar di Sepanyol sejak gelombang haba melanda seminggu lalu, menurut perkhidmatan kecemasan kebangsaan.
Suhu melebihi 44 darjah Celcius di selatan dan barat daya Sepanyol manakala suhu di seluruh negara mencatatkan bacaan sekitar 40 darjah Celcius, dan faktor cuaca yang panas dan kering sepanjang Mei dan Jun memungkinkan kejadian kebakaran hutan secara meluas, lapor Xinhua.
Di Andalusia, kebakaran berhampiran pusat peranginan Mijas setakat ini telah memusnahkan kira-kira 3,000 hektar kawasan hutan dan menyebabkan kira-kira 2,000 penduduk dipindahkan dari rumah mereka.
Jurucakap Pertanian dan Imigresen Kerajaan Andalusia Carmen Crespo berkata pihaknya percaya kebakaran itu"tidak dicetuskan oleh faktor semula jadi."
"Kami perlu melihat sama ada ia adalah kerana kecuaian atau sengaja dicetuskan," kata Crespo, sambil memaklumkan anggota bomba berhempas pulas cuba memadamkan api di dua lokasi berkenaan.
Di barat laut Sepanyol Galicia, pihak berkuasa cuba menangani tujuh kejadian kebakaran hutan di ibu kota Ourense yang dilaporkan telah merosakkan beberapa kediaman.
Tiada kematian dilaporkan setakat ini, manakala tiga anggota bomba dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, kebakaran di barat daya Perancis pada Ahad tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.
Menurut penguatkuasa di wilayah Gironde, dua kejadian kebakaran telah memusnahkan lebih 11,000 hektar (27,182 ekar) hutan, lapor Agensi Anadolu.
Sebuah video di Twitter memaparkan kebakaran dan asap menyelubungi hutan berhampiran pantai di la Teste-de-Buch.
Lebih 3,400 hektar tanah musnah akibat kebakaran itu.
Di Landiras, pihak berkuasa telah memindahkan 2,100 penduduk di Cabanac, wilayah Gironde pada Ahad.
Lebih 1,200 anggota bomba, empat pesawat Canadair dan dua pesawat Dash kini berusaha memadamkan kebakaran.
Seramai 14,000 orang termasuk pelancong dan penduduk tempatan telah dipindahkan sejak kebakaran tercetus pada Selasa. Perdana Menteri Elisabeth Borne mengesahkan kejadian kebakaran itu akibat percikan api dari sebuah kenderaan elektrik. - Bernama