MAHA 2022 platform hapus orang tengah bidang pertanian

Iklan
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI) Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (hadapan,empat,kiri) bergambar bersama komuniti penduduk Putrajaya selepas menyerahkan kit pertanian bandar pada Majlis Pra Pelancaran Laman Agro-Food Florikultur Sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) Tahun 2022 di kementeriannya, pada Isnin. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 pada Ogos ini antara lain menjadi platform menghapuskan peranan orang tengah dalam sektor pertanian dan rantaian bekalan makanan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, melalui rantaian perniagaan dalam MAHA 2022, perniagaan secara langsung antara pengeluar dengan pengguna akan berlaku sekali gus berpotensi mengelakkan peranan orang tengah.

Iklan
Iklan

"Dengan MAHA, kita seboleh-bolehnya mahu menghapuskan golongan ketiga (orang tengah) yang cuba mengambil kesempatan untuk mengaut kekayaan dalam keadaan tidak sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas prapelancaran Laman Agro-Food Florikultur sempena MAHA 2022 di sini, pada Isnin.

Pada 18 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan menggesa agar budaya orang tengah dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan dihapuskan bagi mengawal kos sara hidup yang meningkat antara lain akibat kenaikan kadar inflasi.

Iklan

MAHA 2022 akan diadakan secara hibrid pada 4 hingga 14 Ogos di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang dengan bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’. Disasarkan 1.1 juta pengunjung hadir secara fizikal sepanjang 11 hari program itu serta menjana lebih RM250 juta potensi nilai jualan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Zahimi Hassan berkata antara tarikan Laman Agro-Food Florikultur adalah ‘Miracle Garden’ yang akan menonjolkan keindahan landskap kombinasi pelbagai jenis bunga bersama tanaman ‘edible’ atau boleh dimakan dengan aspek pertanian pintar.

Iklan

Menurutnya, kepelbagaian konsep taman yang akan diterapkan di laman itu antaranya ‘Rainbow Garden’, ‘Teratai Garden’, ‘Tropical Garden’ dan ‘Urban Garden’. - Bernama