Pengarah syarikat, CEO ditahan seleweng dana PenjanaKerjaya

Iklan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang pengarah syarikat direman 14 hari manakala seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) wanita dibebaskan dengan jaminan selepas kedua mereka ditahan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) pada Ahad.

Menurut sumber, kedua individu terdiri seorang lelaki berumur 41 tahun dan seorang wanita berumur 40 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan membabitkan tuntutan palsu bernilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Iklan
Iklan

"Dua individu yang merupakan ketua pegawai eksekutif dan pengarah syarikat berkenaan ditahan di sekitar Kuala Lumpur kira-kira jam 1.30 petang semalam.

"Suspek lelaki iaitu pengarah syarikat ditahan reman selama empat hari mulai hari ini sehingga 21 Julai depan selepas Majistret, Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi manakala wanita itu dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil," katanya.

Iklan

Katanya, kedua-duanya dipercayai telah mengemukakan invois Program Latihan Insentif Pengambilan Pekerja yang mengandungi butiran matan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Inivois berkenaan dikemukakan dipercayai bagi memperolehi bayaran dibawah peruntukan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah kira-kira RM700,000 sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya," katanya.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

"Operasi dan siasatan masih diteruskan dan kemungkinan beberapa tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat," katanya.

Pada 14 Julai lalu, SPRM telah menahan 37 individu di beberapa buah negeri bagi membantu siasatan berkaitan isu tersebut dan tiga lagi individu ditahan di Johor dan Pulau Pinang sehari kemudian bagi membantu siasatan kes yang sama.

Setakat ini, jumlah keseluruhan suspek yang ditahan menerusi Ops Hire adalah seramai 42 individu.