4,021 keluarga layak terima rebat elektrik di Kedah

Iklan
Zamri pada sidang media di Wisma Darul Aman.

ALOR SETAR - Seramai 4,021 keluarga di negeri ini yang layak menikmati rebat elektrik berjumlah RM40 sedang dijejaki menerusi data e-Kasih.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Zamri Yusuf berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah menerima seramai penerima yang layak berjumlah 7,269 keluarga dari Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepanjang tempoh tiga bulan pertama ini, seramai 3,248 keluarga yang layak menerima rebat itu berjaya dikesan, bagi menikmati manfaat Program Rebat Bil Elektrik RM40 yang bermula pada 1 Januari lalu.

"Kita masih mengesan ketua isi rumah keluarga miskin tegar dan miskin yang berdaftar bawah sistem e-Kasih untuk menerima imbuhan elektrik secara percuma sehingga RM40 sebulan, bergantung kepada jumlah penggunaan elektrik mereka,” katanya, pada sidang media.

Iklan

Zamri berkata, sehingga akhir 2018, TNB Kedah telah menerima senarai 7,269 keluarga yang berdaftar dan layak menerima rebat berjumlah RM40 seperti diumumkan dalam Bajet 2019, pada 2 November tahun lalu.

"Sekarang kita masih mencari baki 4,021 keluarga, supaya mereka dapat dibantu dengan segera untuk menerima manfaat ini. TNB gagal menjejaki baki keluarga yang layak itu susulan terdapat penerima yang menukar nombor telefon dan alamat rumah, menyebabkan usaha mengesan mereka temui jalan buntu,” katanya.

Iklan

Menurutnya, mereka yang tersenarai dan mempunyai akaun elektrik TNB secara automatik diberikan pengesahan dan mula menerima rebat bulanan RM40 bermula Januari.

"Penerima yang telah berdaftar bawah e-Kasih diminta tampil ke mana-mana Pejabat TNB atau Pusat Khidmat ADUN PH, dan hanya perlu membawa kad pengenalan dan bil elektrik untuk semakan,” katanya.

Zamri berkata, daerah Sik mencatatkan jumlah tertinggi yang masih dikesan, iaitu 694 keluarga, diikuti Kuala Muda (633), Kota Setar (620), Baling (516), Kubang Pasu (482) dan selebihnya di daerah lain.

Tambahnya, penerima juga boleh membuat semakan kelayakan di TNB dengan menghubungi Careline di talian 1-300-88-5454 atau membuat semakan terus di Pejabat TNB berdekatan.

Pada pembentangan Bajet 2019 lalu, kerajaan mengumumkan menaikkan kadar subsidi bil elektrik kepada RM40 sebulan, berbanding RM20 sebelum ini, membabitkan peruntukan RM80 juta serta memanfaatkan 185,000 akaun pengguna.