ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan berbincang bersama agensi terlibat tentang langkah susulan berkaitan hasil kajian Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang mengesahkan punca banjir di Baling adalah disebabkan kolam takungan Projek tanaman durian Musang King di puncak Gunung Inas, pecah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri akur dengan keputusan KASA yang diperolehi menerusi laporan daripada jabatan-jabatan teknikal terlibat.
Katanya, setakat ini Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) mencadangkan untuk segera menanam pokok-pokok yang diluluskan di kawasan terjejas.
" Saya sudah mengarahkan tanaman tutup bumi itu dua tahun lalu, tapi sekarang isunya siapa yang hendak tanam?,"katanya ketika sidang media Majlis Perasmian Kedah Cashless dan iHasil di Pejabat Daerah Dan Tanah di sini pada Isnin.
Menurutnya, sebelum ini kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi kawasan terbabit adalah bagi penanaman pokok getah klon balak (TLC) tetapi syarikat terlibat mahu mengusahakan ladang musang king.
" Sekiranya mereka mahu meneruskan projek ladang hutan mereka perlu tanam TLC, dan hanya 20 peratus daripada kawasan itu dibenarkan tanaman musang king," katanya.
Menurutnya, isu terbabit perlu dibincang sebaiknya bagi memastikan penyelesaian terbaik dapat dicapai supaya kejadian sama tidak berulang lagi pada masa hadapan.
"Sekarang kita masih dalam peringkat perbincangan tapi kalau kalau nak cepat kita perlu segerakan tanaman tutup bumi di kawasan terbabit.
"berkaitan kolam itu pula kita akan segera kosongkan kerana kalau ada takungan, bila hujan nanti ia akan penuh semula," katanya.
Muhammad Sanusi dalam masa yang sama turut mempersoalkan besar kolam terbabit yang mampu menjejaskan 42 kampung berdekatan Gunung Inas.
"Masa buat tinjauan dari udara hari itu saya tak nampak dari mata kasar ada kolam yang pecah, mungkin kena daki gunung untuk tengok dengan lebih dekat.
"Tapi kalau satu kolam sahaja yang pecah, sebanyak itu airnya sehingga 17 buah rumah hanyut besar mana kolam itu? kita kena fikir juga," katanya.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan mengesahkan punca banjir di beberapa kampung di Baling, awal bulan ini, disebabkan kolam takungan yang dibina di Projek tanaman durian Musang King di puncak Gunung Inas, pecah.
Beliau berkata, punca itu dikesan melalui kajian yang dilaksanakan oleh kementerian itu.
Kajian mendapati adanya satu kolam takungan yang pecah yang mana ia menyebabkan berlakunya banjir di beberapa kampung termasuk Kampung Iboi, Kampung Padang Lengkuas, Bukit Hangus dan Kampung Pisang.