Tolak usul banjir Baling: Tindakan kerajaan ibarat 'hit and run'

Iklan
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Mukhriz)

ALOR SETAR - Kerajaan negeri bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor umpama pihak yang melakukan perbuatan 'hit and run'.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana isu rakyat dan berkepentingan awam tidak dibahaskan di tempat yang sewajarnya, iaitu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebaliknya lebih gemar melemparkan pelbagai tuduhan.

Iklan
Iklan

Mukhriz juga kesal apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang pernah diterajui beliau turut dikaitkan dengan tragedi bencana banjir dan kepala air di Baling.

"Tabiat kerajaan yang ada sekarang ini ibarat 'hit and run' atau langgar lari. Mereka lontarkan macam-macam tuduhan selepas itu apabila kita mahu soal balik dalam Dewan, tempat yang sepatutnya untuk bincang, mereka tak mahu jawab pula,” katanya pada sidang akhbar bersama ADUN pembangkang selepas persidangan DUN Kedah ditangguhkan pada Oktober depan.

Iklan

Menurut bekas Menteri Besar Kedah itu, pelbagai tuduhan yang mengaitkan pentadbiran beliau dengan bencana itu adalah perkara yang tidak wajar.

"Dia kata macam-macam, semua salah PH sebab itu saya kata langgar, lepas tu dia lari. Lari daripada menjawab soalan di tempat yang sepatutnya,” katanya merujuk kepada penolakan dua usul tergempar dibawa oleh pembangkang berkaitan tragedi banjir dan kepala air di Kupang yang ditolak oleh Speaker DUN Kedah.

Iklan

Menurutnya, bencana bukanlah perkara yang boleh dirancang mengikut jadual kerana ia berlaku tanpa diduga.

"Kita tak boleh rancang supaya bencana itu berlaku dalam 14 hari sebelum DUN bersidang. Sudah ada peraturan seorang wakil rakyat perlu beri masa 14 hari sebelum mengemukakan usul, kalau dirunding dengan Menteri Besar dibolehkan tujuh hari dan ada keadaan hanya sehari.

"Persidangan pula hanya setengah hari, kalau selama empat atau lima hari mungkin ada lagi masa untuk kita bincang supaya dibenarkan usul itu dibahaskan, untuk kita menangani masalah, apa puncanya dan tindakan yang diambil,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mukhriz ingin tahu pendirian kerajaan negeri berhubung penanaman durian khususnya musang king yang dikaitkan sebagai antara punca berlakunya bencana terbabit.

"Apa dasar kerajaan negeri berkenaan durian? Adakah hendak tambah lagi? Sebab banyak syarikat eksport durian dari Kedah ke China jadi apa dasar diambil kerajaan negeri sekarang?

"Adakah nak uruskan penanaman durian pelbagai spesis atau musang king untuk eksport, kalau begitu di mana akan ditanam? Sudah adakah tanah dikenal pasti untuk dijadikan ladang atau carilah hutan mana-mana atas alasan tanam musang king dengan tebang bersih dan akan berlaku lagilah bencana,” katanya.

Mukhriz sekali lagi tegaskan, ketika menerajui Kedah bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), beliau hanya mewarisi apa yang ditinggalkan kerajaan negeri terdahulu.

Menurutnya, selepas menerajui Kedah pada 2013 dan mewarisi keadaan itu, beliau belum sempat melakukan penanaman semula selepas terpaksa melepaskan jawatannya pada 2016.

"Setelah itu diambil alih oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, ketika itu syarikat ECK diberikan konsesi menanam semula namun syarikat tersebut menanam musang king.

"Sewaktu PH ambil alih (2018) penanaman musang king sudah pun berjalan. Saya ingat mahu teruskan tetapi saya menerima surat daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air yang menegur Kedah berhubung tanaman musang king,” katanya.

Sehubungan itu, Mukhriz menafikan dakwaan bahawa PH yang memulakan penanaman durian musang king seperti didakwa.