Lantikan ikut terma, tak lebih siling peruntukan: Yadim

Iklan
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

PUTRAJAYA - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) hari ini menegaskan bahawa sebarang pelantikan yang dibuat adalah mengikut terma perkhidmatan biasa badan itu tanpa melibatkan pertambahan jumlah perjawatan sedia ada serta tidak melebihi siling peruntukan yang diberikan.

Yadim dalam satu kenyataan hari ini berkata, tuduhan yang mengatakan bahawa kepimpinan Yadim menggunakan dana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membiayai kos operasinya adalah amat tidak berasas sama sekali.

Iklan
Iklan

Yadim berkata, ia amat memerlukan tenaga berkemahiran dalam 'change management' dan 'turn around management' untuk bertindak secara profesional dan tidak terikat dengan budaya lama serta bebas daripada pengaruh politik.

"Kemasukan muka-muka baharu dalam struktur operasi bukanlah sesuatu yang asing bagi mana-mana organisasi termasuk Yadim sendiri sebelum ini,” kata badan dakwah itu.

Iklan

Yadim berkata pelantikan sekarang tidak sama sekali berasaskan kepada afiliasi politik sebaliknya berdasarkan merit kelayakan dan pengalaman luas yang dimiliki oleh mereka sama ada dalam sektor awam atau swasta.

Sebagai contoh, pelantikan Ketua Pegawai Operasi (COO) Yadim baharu melibatkan pegawai kerajaan yang dipinjamkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang bebas daripada kaitan politik selain mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengurusan dan pentadbiran organisasi di dalam dan luar negara, katanya.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Asyraf Wajdi bidas lantikan Yadim

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini dilaporkan mendakwa Yadim terpaksa menanggung kos emolumen tinggi dengan pengambilan ramai kakitangan baharu dalam kalangan orang parti yang dibawa masuk ke pejabat Yang Dipertuanya Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Asyraf Wajdi mendakwa, Yadim harus menanggung lebih daripada setengah juta setahun semata-mata untuk membayar gaji pegawai lantikan tersebut.

Yadim dalam kenyataan hari ini mendedahkan Felo Muda Dakwah (FMD) diwujudkan di luar perjawatan sebenar Yadim dan kini terpaksa dibiayai dengan menggunakan dana sumbangan MAIWP kepada Yadim yang sepatutnya bagi tujuan aktiviti dakwah dan pembangunan Islam yang lain.

Menurut Yadim, FMD sebenarnya diasaskan oleh kepimpinan Yadim sebelum ini, dan ini menelan belanja lebih daripada RM11 juta sejak dilaksanakan. - Bernama