Individu umur 50-59 tahun diberi pilihan ambil 'booster' kedua

Iklan
Individu sihat berumur 50 hingga 59 tahun kini diberi pilihan untuk mendapatkan dos penggalak kedua vaksin Covid-19. - Gambar kecil: Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR - Individu sihat berumur 50 hingga 59 tahun kini diberi pilihan untuk mendapatkan dos penggalak kedua vaksin Covid-19, Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan itu berdasarkan syor Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) untuk perlindungan daripada risiko penyakit yang teruk akibat Covid-19.

Iklan
Iklan

"KKM telah meningkatkan peratusan individu yang layak menerima vaksin dos penggalak bagi mengurangkan penularan jangkitan, jangkitan serius serta kematian.

"KKM menggesa agar semua individu yang layak tampil untuk mendapatkan perkhidmatan ini supaya populasi Malaysia mendapat perlindungan yang optimum terhadap penyakit Covid-19,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau menjawab soalan Datuk Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) mengenai keadaan terkini ancaman varian baharu Covid-19 dan tindakan KKM menghadapinya.

Antara golongan yang layak menerima dos penggalak kedua sebelum ini adalah individu berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi serta individu berumur 60 tahun ke atas tanpa komorbiditi serta mendapat saranan daripada pengamal perubatan.

Iklan

Selain itu, warga emas yang tinggal di fasiliti penjagaan jangka panjang, individu berumur 18 hingga 59 tahun yang berisiko tinggi serta petugas barisan hadapan juga layak mendapat dos penggalak kedua.

Dalam pada itu, Khairy berkata KKM juga sedang melihat kepada penghasilan vaksin generasi baharu yang mungkin akan ke pasaran serta mendapat kelulusan badan regulatori kesihatan.

"Sekiranya didapati vaksin yang dibangunkan untuk varian seperti Omicron ini berkesan dan selamat, mungkin perolehan boleh dipertimbangkan untuk masa akan datang,” katanya menjawab soalan tambahan Rubiah mengenai sejauh mana Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dijalankan sebelum ini membolehkan negara berhadapan dengan varian baharu yang datang. - Bernama